Blog: The Rakyat Post
Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan mengenai hukum hudud setelah mengambil kira pendirian ulama besar dunia termasuklah Prof. Dr Syeikh Yusuf al-Qardhawi.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, Yusuf yang merupakan Presiden Ulama Sedunia dan juga merupakan ketua kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, banyak pihak terutama penyokong UMNO mengambil kesempatan menyerang dirinya dan juga PKR kononnya menolak hukum Allah.
“Yusuf dalam kitabnya, Fiqh al-Wasatiyah al-Islamiyyah wa al-Tajdid pada muka surat 78 berkata Islam itu bukan hanya tertumpu kepada perundangan semata-mata seperti hudud.
“Islam yang dikehendaki adalah yang wasatiyyah, mudah dan tidak memberatkan dan hudud bukanlah termasuk dalam fiqhul al-awlawiyyat (keutamaan),” kata Rafizi dalam Twitter miliknya di sini hari ini.
PKR sebelum ini telah membuat ketetapan dalam kenyataan bersama pada 20 Mac lalu selepas Biro Politik parti berkenaan bermesyuarat dan membincangkan secara khusus cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah yang telah diberi notis oleh Ahli Parlimen Marang kepada Setiausaha Dewan Rakyat Parlimen Malaysia pada 18 Mac 2015.
Menurut kenyataan berkenaan, cadangan RUU itu adalah lanjutan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.
Jelasnya, PKR membuat ketetapan tidak boleh menyokong Rang Undang-Undang Persendirian tersebut disebabkan parti berkenaan tidak dimaklumkan tentang isi kandungan RUU Persendirian itu.
Katanya, ia dicadangkan secara ‘unilateral‘ tanpa pemberitahuan kepada rakan-rakan parti komponen Pakatan Rakyat dan bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015.
“Sekiranya RUU Persendirian tersebut berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, KEADILAN tetap dengan pendirian asal, iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah.
“Mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat, sebarang RUU hanya akan dibahaskan dengan restu pihak kerajaan. Hakikatnya, tidak ada seorang pimpinan tertinggi UMNO atau Barisan Nasional pun yang telah membuat kenyataan terbuka dan jelas mengenai pendirian mereka berkenaan RUU Persendirian tersebut jika di bawa ke Parlimen, termasuklah Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tegas kenyataan tersebut.
23 Mac 2015