Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berpendapat politik ‘king maker’ hanya menunjukkan Pas tidak mempunyai komitmen untuk menumbangkan Umno-BN termasuk memuktamadkan penggunaan satu logo dan manifesto bersama.
Mengulas saranan Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad supaya Amanah bergabung dengan DAP, beliau berkata, kenyataan tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengheret kepada isu perkauman.
Menurutnya, kenyataan tersebut selari dengan nada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang menyatakan dalam perhimpunan agung parti itu bahawa keindukan parti pembangkang adalah DAP.
“Pada masa yang sama, pemimpin Umno dan Pas cuba mengelirukan rakyat dengan memainkan propaganda bahawa DAP adalah parti cauvinis dan DAP yang akan mengetuai pakatan pembangkang.
“Propaganda ini bertujuan untuk menakut-nakutkan orang Melayu walaupun hakikatnya, ia tidak berasas. Amanah adalah parti yang berjuang atas dasar Islam berasaskan maqasid syariah.
“Perjuangan bersama PKR, DAP dan PPBM bertujuan untuk menyelamatkan rakyat daripada terus dizalimi dan ditindas oleh rejim Umno-BN,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Umno pada masa ini jelas tidak mempunyai modal politik selain daripada berterusan memainkan isu perkauman pada ketika skandal korupsi dan penyelewengan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda tidak mampu lagi dijawab oleh pemimpinannya.
“Maka, mereka cuba sedaya upaya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan dengan menakut-nakutkan rakyat dengan isu perkauman.
“Ironinya, Pas yang dahulu pernah bersama DAP sehingga berjaya membentuk kerajaan bersama di Selangor dan Perak, kini mengambil sikap memusuhi DAP dalam masa sama turut mengheret Amanah bersama dalam permusuhannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan agenda perjuangan yang utama bagi rakyat pada masa ini adalah perjuangan bagi menyelamatkan negara daripada korupsi dan kleptokrasi.
“Sikap memusuhi DAP dan Amanah akan merugikan rakyat kerana rakyat memerlukan satu gabungan parti pembangkang yang kuat untuk menumbangkan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
“Jika Pas masih mengambil sikap memusuhi parti-parti pembangkang dan pada masa yang sama mengambil sikap senada dengan Umno dengan memainkan isu perkauman sebagai modal politik, maka Pas hanya akan menjadi ‘spoiler’ kepada perjuangan rakyat,” bidasnya lagi. Malaysia dateline