Oleh : Selena Tay
Harga minyak RON95 dan RON97 wajib diturunkan mulai 1 Ogos. Ini adalah kerana harga pasaran dunia untuk Brent Crude (pengukur harga minyak mentah dunia) sudah berada di bawah paras AS$56 setong.
Selain daripada itu, perbincangan diplomatik antara Amerika Syarikat dan Iran telah membuahkan hasil dan ini telah membolehkan Iran mengekspot lebih banyak minyak keluaran negara mereka.
Justeru itu, harga minyak dijangka akan mengalami penurunan sehingga hujung tahun.
Tinjauan rakyat yang dibuat oleh wartawan Suara Pakatan Daily mendapati bahawa rata-rata orang yang diwawancara bersetuju bahawa harga minyak di Malaysia adalah terlalu tinggi, terutamanya RON95.
“Harga minyak RON95 harus diturunkan dari RM2.15 seliter ke RM1.80 seliter. Dulu Kerajaan BN berkata harga minyak di Malaysia akan mengikut harga pasaran dunia tetapi apabila harga minyak di pasaran dunia turun, harga minyak di negara kita naik pula. Mengapa kerajaan mungkir janji?” kata Tan Chin Huat, seorang pekerja hotel di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Seorang pekerja kedai fotokopi di Lebuh Ampang bernama Jenny Wan pula mempunyai pendirian yang kukuh bahawa harga minyak RON95 di Malaysia sepatutnya kurang dari RM2 seliter.