Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang sepatutnya menjadi medan membicarakan soal negara dan orang Melayu, digunakan sebagai platform presidennya menagih simpati, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengulas perhimpunan yang baru menutup tirainya semalam, dan menyifatkannya jauh berbeza daripada dulu.
“PAU sepatutnya menjadi tempat presiden membicarakan hal berkaitan kedudukan orang Melayu, agama Islam, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.
“PAU tahun ini lain sekali nadanya. Datuk Seri Najib Razak menuntut seluruh ahli berbai’ah dan wala’ kepadanya secara membuta-tuli, kononnya itulah tradisi Umno dan amalan orang Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada PAU 2016, Najib dalam ucapan dasar dan penggulungannya menyeru taat setia dan wala’ kepadanya selaku presiden, selain serangan terhadap bekas pemimpin Umno terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ucapan perwakilan dan pemimpin tertinggi parti itu selama 5 hari persidangan juga dipenuhi dengan perkara sama.
Kata bekas timbalan presiden Umno itu lagi, ia membuktikan Najib sedang gelisah melihat kepimpinan Melayu dalam barisan pembangkang semakin kukuh selepas tertubuhnya PPBM.
“(Pengerusi PPBM) Dr Mahathir yang kental perjuangan Melayu sehingga digelar ‘ultra Melayu’ dan saya sendiri yang pernah dilabel ‘Malay First’ kini dalam barisan pembangkang.
“Kami bersama rakan lain sedang memperkukuhkan kepimpinan Melayu dalam barisan pembangkang untuk mengambilahlih pentadbiran negara daripada Umno dan BN (Barisan Nasional) yang rosak,” katanya lagi.