Oleh: Selena Tay
“Rakyat harus sokong Bersih! Negara Malaysia sedang menghadapi cabaran yang paling sengit dalam sejarah dan pemimpin kita pula tiada halatuju,” kata seorang pesara bernama Eddy Teh yang berumur 61 tahun.
Tinjauan rakyat yang dibuat oleh wartawan Suara Pakatan Daily mendapati semua 35 orang yang diwawancara akan menyokong acara ini kerana mereka semua berkongsi pendapat bahawa kini rakyat terlalu dibebani oleh masalah harga barang dan kos sara hidup yang semakin naik.
Hutang seisi rumahtangga sudah melebihi 87% dan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang dilancarkan pada 1hb April lalu pula menyebabkan harga barangan mengalami kenaikan yang serta-merta.
Kemasukan buruh asing yang berlambak juga menyebabkan rakyat Malaysia terutamanya yang berpendidikan rendah diketepikan dalam usaha mendapat mata pencarian.
“Semua orang patut turun padang pada 29hb dan 30hb Ogos ini. Kita mesti menggesa PM Najib supaya letak jawatan kerana pengurusan pentadbiran yang terlalu membebankan rakyat. Saya masih ingat semasa kegawatan ekonomi pada tahun 1997 pun, Tun Dr. Mahathir tidak melaksanakan GST,” kata seorang kerani bank bernama Eric Wong.
Semua orang yang diwawancara telah bersetuju 100% bahawa PM Najib tidak menguruskan negara dengan baik dan visi 2020 hanya akan menjadi satu mimpi sahaja.