Oleh : Selena Tay
Spekulasi kenaikan harga bahan api gas asli (NGV) yang digunakan teksi, meningkat daripada 68 sen kepada RM1.05 mulai 1 September ini menyebabkan sebahagian pemandu teksi yang selama ini tidak minat membicarakan politik, membayangkan akan turun ke jalan raya menyertai himpunan Bersih 4.0 pada 29 – 30 Ogos.
“Susahlah sekarang untuk kita rakyat marhaen cari makan. Kalau bukan naik ini harga, itu pula yang naik harga,” kata Hassan, seorang pemandu teksi yang dalam lingkungan 30an yang sedang mencari penumpang berhampiran Pasar Seni di KL.
Seorang lagi pemandu teksi yang dikenali sebagai Yap berusia 45 tahun berkata kerajaan langsung tidak mempedulikan nasib rakyat biasa.
Kedua-dua pemandu teksi ini memberitahu wartawan Suara Pakatan Daily mereka akan menyertai himpunan Bersih pada 29 dan 30 Ogos ini.
Lima orang lagi pemandu teksi yang berada di kawasan Pasar Seni bersetuju bahawa kerajaan BN telah gagal dari segi pengurusan dan pentadbiran negara yang berhemah.
“Nilai matawang ringgit asyik jatuh saja amat menakutkan pelabur dari negara Barat. Seorang Mat Salleh beritahu saya beliau mahu tarik keluar wang pelaburannya dari negara kita,” kata seorang pemandu teksi bernama Ramasamy berumur 70 tahun.