Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menolak tohmahan penganalisis politik Prof Abu Bakar kononnya Gerakan Harapan Baru (GHB) tiada pemimpin pelapis dan bakal berkubur sebagaimana parti serpihan Pas yang terdahulu.
Beliau berkata, GHB dalam masa terdekat akan mewujudkan unit latihan kepimpinan bagi mengasah bakat muda untuk mengisi beberapa jawatan penting dalam parti setelah proses pembentukan parti baharu selesai.
“Pemimpin GHB sekarang kebanyakkannya dalam lingkungan pertengahan atau akhir 50an dan bukannya pertengahan 60an seperti didakwa (Prof Abu Bakar). Pemimpin yang berusia 60an hanyalah Ustaz Ahmad Awang dan Mat Sabu. Khidmat dan pengalaman mereka boleh digunakan dalam tempoh (sekurang-kurangnya) dua kali PRU lagi,” katanya.
Menurut Khalid, ruang kepimpinan terbuka luas kepada golongan muda dalam GHB sekiranya kepimpinan mereka terserlah dan memberi manfaat kepada masyarakat dan parti.
“Malah beberapa bekas pimpinan pemuda Pas negeri, kawasan dan cawangan telah menunjukkan minat menyertai GHB dan ada potensi untuk diketengahkan sebagai ikon menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai parti baru ini,” tegasnya ketika dihubungi suara pakatan daily.
Menurut Khalid lagi, kebanyakkan bekas pimpinan Pas yang menyertai GHB bukan seperti didakwa sesetengah pihak kerana kecewa mempertahankan jawatan tetapi menjurus kepada suatu keterbukaan dan peluang keemasan untuk menamatkan kemelut dalaman berlarutan sehingga menjejaskan khidmat terhadap rakyat.
“Pendekatan Baru GHB sama sekali tidak terhad terhadap individu penting dalam masyarakat, tetapi perjuangan toleransi antara kaum dan Islam sebagai teras supaya pembentukan masyarakat majmuk dapat direalisasikan dalam bentuk anggota masyarakat yang berbilang kaum,
Pendekatan baharu yang dibawa pimpinan GHB bakal berpotensi diterima ramai berbanding pendekatan yang dibawa Pas. Terpulanglah kepada masyarakat untuk menilai secara lebih adil,” katanya lagi.