Gambar Mat sabu diserbu peserta Bersih 4 termasuk seorang wanita Cina yang bergambar selfie bersebelahan beliau dan menjadi viral di internet tidak lain adalah manifestasi kedahagaan masyakat Cina menyambut pemimpin Islam baharu selepas pemergian Nik Aziz Nik Mat.
Penyelaras Gerakan Harapan Baru Pahang, Ustaz Dr Hamzah Jaafar berkata keterujaan masyarakat Cina itu bukanlah sesuatu yang baharu tetapi juga telah berlaku ketika era Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dahulu.
“Nik Aziz sewaktu beramah mesra dengan masyarakat Cina juga diserbu seperti Mat Sabu. Cuma keadaan terkawal ketika itu.
“Bagi saya ini adalah keterujaan masyarakat Cina mahukan seorang pemimpin Islam yang boleh membela semua bangsa selepas kematian Nik Aziz. Mat Sabu adalah pemimpin yang diharapkan mereka untuk mengambil alih peranan Tuan Guru Nik Aziz.
“Masyarakat Cina juga mungkin menyamakan Mat Sabu seperti Jokowi di Indonesia yang naik dari bawah dan memperjuangkan suara rakyat pelbagai kaum,” katanya kepada suarapakatandaily.
Mat Sabu diserbu ketika perhimpunan Bersih 4 oleh ribuan peserta Cina. Akibat serbuan itu kawalan keselamatan oleh Amal Releif menjadi longgar dan beberapa peserta sempat mengambil gambar selfie. Termasuk seorang wanita Cina yang berdiri di sebelahnya dan kemudian menjadi kontroversi di alam maya (facebook).
Insiden itu memaksa Amal Releif mengeluarkan kenyataan memohon maaf kerana tidak berdaya mengawal keadaan ketika diserbu oleh ribuan peserta Bersih sewaktu Mat Sabu berjalan di celah-celah 200,000 peserta himpunan pada 29 – 30 Ogos lalu.