KENYATAAN MEDIA: Hari ini, 6 September lebih kurang jam 3 petang, telah berlangsung satu dialog sempena pelancaran Parti Amanah Negara (Amanah) di Hotel Grand Continental di Kuching, Sarawak.
Dalam dialog tersebut saya ditanya tentang pendirian Amanah berkenaan hudud jika di bawa ke Parlimen.
Saya menyatakan bahawa, kami mengambil pendirian sebarang Rang Undang-Undang (RUU) apa sekalipun termasuk undang-undang syariah, hendaklah dibincangkan terlebih dahulu di atas konsep pegangan perjuangan kami iaitu memilih secara demokrasi, konsultasi (perundingan) dan mengambilkira Perlembagaan negara.
Oleh itu, sekiranya isu ini timbul pada masa akan datang, persetujuan di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat 2.0 jika ianya terbentuk nanti, hendaklah dibincang bersama terhadap sebarang pindaan perlembagaan atau hal-hal yang terlalu penting, sama ada untuk bersetuju ataupun tidak.
Kekeliruan yang timbul akibat laporan daripada The Malaysian Insider seolah-olah meletakkan bahawa saya akan mengarahkan anggota parlimen daripada Amanah untuk menolak RUU hudud jika dikemukakan.
Saya jelaskan sekali lagi, sebarang persetujuan atau penentangan hendaklah dibincang bersama dalam komponen Pakatan Rakyat 2.0. untuk bersetuju atau tidak, di atas konsep persetujuan bersama yang menjadi pegangan kepada kami.
Sehubungan itu, saya berharap pihak berkaitan segera memperbetulkan laporan berkenaan, agar ia tidak menimbulkan kekeliruan dan salah anggap di kalangan masyarakat terhadap pendirian kami.
HJ MOHAMAD BIN SABU
Pengerusi
Parti Amanah Negara