Oleh : Selena Tay
“Saya sudah tidak mempunyai keyakinan bahawa PM Najib dapat menyelesaikan masalah ekonomi negara,” kata-kata jujur daripada seorang pelajar Cina bernama Robert Lee yang berumur 21 tahun.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa berdasarkan nisbah penduduk di negara kita, peserta Cina adalah yang paling ramai dalam perhimpunan Bersih 4 minggu lalu. Ada sebabnya mengapa situasi tersebut berlaku. Wartawan Suara Pakatan Daily yang meninjau demonstrasi itu sempat menemuramah secara rambang peserta Cina.
Daripada analisis kami, dapat dirumuskan bahawa kaum Cina turun beramai-ramai kali ini adalah kerana mereka yang paling awal merasa bahang kegawatan ekonomi berbanding kaum Melayu dan India.
Seramai kira-kira seratus peserta Cina yang ditemu-bual berkata bahawa ahli keluarga, saudara mahu pun rakan mereka kini sedang mengalami kerugian yang besar dalam bidang perniagaan. Semua itu disebabkan oleh perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu.
Selain daripada itu, nilai mata wang Ringgit yang terus-menerus jatuh juga merupakan masalah yang amat besar bagi kaum Cina mempertahankan perniagaan.
Tidak dapat rebat
Analisis juga mendapati salah satu alasan kuat mengapa golongan sederhana kaum Cina menyertai demonstrasi adalah kerana pemilik kilang dan perniagaan sedang dalam kesusahan akibat kegagalan Jabatan Kastam membayar rebat GST yang dijanjikan akan dipulangkan dalam masa dua minggu.
Kelewatan itu menekan modal pusingan peniaga dan ditambah pula peningkatan kos bahan mentah akibat kejatuhan Ringgit menjadikan perniagaan Cina menghampiri muflis.
Perniagaan tradisional terjejas
Data terbaharu menunjukkan, sebanyak 50% kedai ubat tradisional Cina iaitu 1,800 dari 3,600 buah kedai telah pun menutup perniagaan mereka akibat kerumitan menamakan pelbagai jenis ubatan Cina itu ke dalam pengkalan data sistem percukaian GST.
Ahli perniagaan Cina meramalkan lebih banyak lagi kilang kecil dan sederhana akan ditutup atau membuang pekerja sebelum hujung tahun ini.
“Masyarakat Cina berpendapat bahawa adalah wajar untuk membantah cara PM Najib mengurus-tadbir negara kerana banyak masalah ekonomi sedang dialami oleh rakyat pada masa kini,” kata Wong Ah Fatt, seorang pesara yang berumur 71 tahun.