Barisan Nasional (BN) kelihatan tidak mempunyai cara lain untuk mempertahankan kuasa dalam pilihanraya ke -13 kelak selain melakukan penipuan dan manipulasi kelayakan mengundi. Selepas Selangor dan Sabah bergelut dengan projek I/C palsu; mendaftarkan pendatang tanpa izin memperolehi kewarganegaraan secara segera, kini Kelantan pula dilanda ribut projek I/C berkenaan.
Satu pekeliling yang diberikan untuk dibaca di masjid-masjid dalam DUN Pengkalan Kubor Jumaat 20 Mei lalu mengesahkan perkara tersebut. Pekeliling itu dikeluarkan oleh Pejabat Penghulu DUN Pengkalan Kubor yang menyebut akan diadakan program Mydaftar Jabatan Pendaftaran Negara peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung pada 28 Mei di Dewan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor Satu.
Mendedahkan perkara itu, ahli parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar berkata adalah suatu yang meragukan apabila Jabatan Pendaftaran Negara menyediakan kaunter bergerak untuk mengeluarkan kad pengenalan. Kebiasaannya urusan mendapatkan kad pengenalan dilakukan di kaunter di pejabat JPN, juga tidak dibuka kepada sesiapa yang masih belum mempunyai sebarang dokumen pengenalan. Sebab sekiranya seseorang itu tiada sama sekali dokumen pengenalan diri tentulah orang berkenaan pendaatang asing.
“Rakyat di Pengakalan Kubor dikejutkan Jumaat lalu dengan hebahan program Mydaftar. Program ini untuk mendaftarkan penduduk Kelantan bagi mendapakan dokumen pengenalan diri.. Hebahannya ditandatangani sendiri oleh penghulu jajahan dan akan diadakan di sekolah di Pengkalan Kubor.
“Kita bimbang projek I/C yang didedahklan berlaku di Selangor dan sebelumnya di Sabah kini telah merebak ke Kelantan. Program Mydaftar didimbangi adalah untuk memberi kad pengenalan segera kepada pendatang dan seterusnya didaftarkan sebagai pengundi di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Tingkat 5, Pejabat Agung PAS, hari ini.
Kamarudin menambah modus operadi seperti ini belum pernah digunakan sebelumnya di mana-mana tempat di Kelantan. Biasanya dalam pilihanraya yang lepas hanya pemindahan nama pengundi dari luar Kelantan dilakukan untuk menjadi pengundi hantu, tetapi pemberian kad pengenalan kali ini akan menjadikan seseorang itu pengundi tetap.
“Memang SPR mengumumkan pengundi yang dibenar mengundi hanyalah yang mempunyai I/C sah dan didaftarkan menguikut alamat kad pengenalan. Tetapi jika pendatang diberi kad pengenalan maka mereka sah boleh mengundi, sedangkan mereka tidak sepatutnya mengundi.
“Kita mendesak operasi ini dihentikan. Operasi ini jelas untuk mewujudkan pengundi baru di Jeli, Tumpat, Pengkalan Kubor dan kawasan yang berhampiran. Sebabnya kawasan ini berdekatan dengan sempadan Thailand dan ramai rakyat Thailand beragama Islam di kawasan ini. PAS akan memantau perkembangan ini dan mengawasi operasi berkenaan secara teliti,” sambung Kamarudin.
Beliau juga turut tidak menolak taktik kali akan bersepadu dengan pemindahan pengundi secara haram oleh SPR seperti sebelumnya untuk menjana kemenangan optimum buat BN di negeri itu.
“Kita akui tidak pernah berlaku operasi pendaftaran seperti ini. Pada pilihanraya yang lalu hanya berlaku pemindahan pengundi dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Mungkin kali ini kita juga akan mendapati nama-nama penyokong PAS dipindahkan dari daftar pemilih ke kawasan lain.
“Oleh itu PAS bersama PR akan mengadakan bantahan besar-besaran ke atas manipulasi daftar pemilih ini melalui dengan perasaan Bersih pada Julai depan di Kuala Lumpur. Kita menuntut keadaan ini dihentikan dan sistem pilihanraya negara kita direformasikan,” ujarnya lagi.