Isu royalti petroleum Kelantan seolah-olah begitu sukar diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan. Biarpun Kerajaan Kelantan telah menyaman Petronas di mahkamah namun keputusannya agak tipis untuk menyebelahi Kerajaan Negeri memandangkan polisi kerajaan BN yang menyekat sebarang bentuk dana dalam jumlah yang besar mengalir ke negeri dikuasai pembangkang.
Sehubungan itu Jawatankuasa Anak Perantau Kelantan menuntut agar Petronas dan Kerajaan Pusat bersikap jujur dalam mentafsir perjanjian di antara Petronas dan Kerajaan Kelantan yang ditanda-tangani pada 1970an menjanjikan royalti untuk sebarang hasil petroleum di negeri itu sama ada di darat mahupun lautan.
Pengerusi jawatankuasa tersebut yang juga bekas ahli parlimen Jeli Apandi Mohamad menggesa Petronas segera menghormati perjanjian dan tidak perlu menunggu keputusan mahkamah. Wang royalti adalah hak rakyat Kelantan yang telah diiktiraf oleh Akta Petroleum Malaysia.
“Anak-Anak Perantau menuntut agar Petronas dan Kerajaan Pusat menunaikan janji. Kita bukan minta sumbangan tetapi sejumlah wang yang telah diakui melalui perjanjian antara Menteri Besar Kelantan Muhammad Nasir dan Petronas pada tahun 1975 yang mana Kelantan berhak memperolehi royalti sebanyak 5% setahun dari hasil minyak. Kerajaan Persekutuan ketika itu diwakili oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan butiran perjanjian itu adalah mengikut Akta Petroleum 1974.
“Sehingga kini Kerajaan Pusat telah mengeluarkan minyak di laut Kelantan bernilai RM2.5 bilion setahun sejak 2004. Sehubungan itu Kerajaan Negeri telah menghantar surat menuntut Kerajaan Pusat menjelaskan wang royalti terkumpul sebanyak RM1bilion. Wang tersebut boleh digunakan bagi pembangunan rakyat dan negeri,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS baru-baru ini.
Apandi juga merujuk kepada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang berlangsung awal bulan lalu di mana Menteri Besar Ahmad Said mengakui Petronas telah pun menyambung pembayaran royalti kepada Kerajaan Terengganu yang digantung sejak pemerintahan PAS 1999 – 2004 lalu.
“Ketika PAS perintah Terengganu royalti minyak ditarik balik dan ditukar menjadi wang ihsan. Tetapi dalam sidang DUN baru-baru ini diberitahu wang royalti telah kembali dibayar oleh Petronas. Hasil minyak Terengganu di lautan sama seperti di laut Kelantan. Ini membuktikan 3 batu nautika dari persisir pantai adalah hasil yang diiktiraf milik negeri, bukan seperti hujah ketika PAS memerintah Terengganu dahulu bahawa hasil di lautan milik Kerajaan Persekutuan.
“Perdana Menteri dalam hal ini ada dua polisi berbeza . Slogan 1Malaysia rakyat diutamakan tidak berlaku dalam memberi pembelaan ke atas rakyat Kelantan dan kami didiskriminasikan,” bidasnya.
Katanya lagi, rakyat Kelantan akan terus menuntut hasil minyak yang dinafikan itu dengan pelbagai cara sama ada perhimpunan aman mahu pun solat hajat dan kempen kesedaran.
“Jawatankuasa Anak Perantauan akan membuat banyak aktiviti menuntut agar royalti segera dibayar. Pada 31 Mei ini kami akan adakan serahan memorandum kepada Perdana Menteri, kami juga akan mengadakan perhimpunan amam di hadapan menara Petronas KLCC, kami akan menghantar memorandum ke ICJ di The Hague Belanda, memorandum ke PBB dan kerajaan Thailand.
“Semua ini kami lakukan untuk mendesak janji ditunaikan dan bukannya untuk mengundang campurtangan negara luar. Kami juga berharap pengundi anak muda akan sedar dengan tekanan ke atas kelantan ini yang telah berlarutan sekian lama dan mereka perlu menggunakan kuasa undi ke atas BN dalam pilihan raya yang akan datang,” akhiri Apandi.