Sikap keterbukaan PKR terhadap penyertaan PAS dalam pakatan baharu pembangkang adalah sebahagian daripada strategi mereka untuk mengekalkan undi Melayu, kata penganalisis.
Mereka berkata, pakatan pembangkang baharu mungkin mempunyai perjanjian dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang, untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru yang akan memberi manfaat kepada pesaing utama Barisan Nasional (BN).
Pengarah Center for Policy Initiatives Dr Lim Teck Ghee berkata, gabungan kepentingan politik dan realisme politik memacu parti berbilang kaum PKR untuk menawarkan PAS kerusi dalam pakatan yang akan ditubuhkan tidak lama lagi, walaupun mendapat bantahan kuat DAP dan beberapa pemimpin kumpulan serpihan PAS – membentuk Parti Amanah Negara (Amanah).
“Dengan mengandaikan PAS tidak bekerjasama dengan Umno pada pilihan raya akan datang, pembangkang perlu mengelakkan pertandingan 3 penjuru. Kehadiran PAS dalam gabungan itu juga masuk akal kepada PKR kerana ia memerlukan sokongan Melayu bagi mengekalkan kuasa politik,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, PAS masih memegang sejumlah besar undi Melayu, dianggarkan kira-kira 30%, sekali gus menjelaskan mengapa PKR masih memerlukan parti Islam itu.
“Parti serpihan baharu PAS tidak mungkin berjaya membawa ramai pengundi luar bandar kepada pembangkang dalam keadaan semasa yang berlaku sekarang,” katanya, merujuk kepada Amanah.
Pengumpul suara bebas, Ibrahim Suffian berkata, PKR secara tradisinya memainkan peranan sebagai “gam” kepada Pakatan Rakyat – kini tidak berfungsi lagi dengan membawa bersama-sama pihak berbeza dari segi ideologi untuk duduk bersama.
PAS adalah sebuah parti Islam yang memperjuangkan pelaksanaan hudud, di mana majoriti golongan sekular Cina DAP menolak undang-undang itu dan ini menyumbang kepada pembubaran pakatan awal tahun ini.
“Apa yang dilakukan PKR ini adalah untuk mengelakkan pertindihan kerusi (pada pilihan raya umum) dan memastikan semua parti pembangkang terus menyokong matlamat untuk membebaskan Anwar,” kata Ibrahim merujuk kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun atas tuduhan liwat.
PKR sentiasa menegaskan tuduhan dikenakan terhadap Anwar adalah rekaan semata-mata dan berusaha keras memastikan pembebasan beliau, katanya.
“Saya rasa itulah sebabnya PKR mahu pembangkang bersatu,” kata Ibrahim yang merupakan Pengarah Merdeka Centre.
Ibrahim memberi amaran gabungan baharu itu tidak akan menjadi seperti Pakatan Rakyat. Sebaliknya, ia akan menjadi seperti perkongsian longgar parti pembangkang yang dikongsi sebelum pilihan raya umum 2008 di mana mereka muncul bersama-sama semata-mata untuk tujuan meraih undi maksimum daripada pengundi berbanding BN.
“Ini boleh dikatakan sebagai satu pakatan pilihan raya… adalah sukar untuk memikirkan yang mereka akan mempunyai manifesto bersama,” katanya.
Ini mungkin memberi manfaat kepada parti tunjang BN, Umno, yang mungkin mendapat lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang.
“Pesaing utama BN bagi undi Melayu ialah PAS dan PKR. Dengan kegagalan Pakatan Rakyat, ia kini meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih baik sedikit daripada PAS, yang digunakan untuk mendapat sokongan bukan Melayu tetapi kini tidak boleh bergantung kepada undi Cina.
“Oleh itu, Umno boleh mendapat manfaat daripada pepecahan pakatan,” kata Ibrahim.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengakui ini merupakan satu “keadaan janggal”, tetapi memberi amaran walaupun terdapat permusuhan terhadap PAS, tidak boleh dinafikan parti Islam itu mengawal sejumlah sokongan orang Melayu.
“Mana-mana pakatan pembangkang yang realistik tidak boleh hanya meminggirkan PAS,” katanya.
Tetapi ahli Parlimen Pandan itu bersetuju orang ramai mahu melihat pembangkang yang bersatu padu, dan perbezaan pendapat dalam pakatan sebelum ini ke atas beberapa isu yang melanda parti di dalamnya menyebabkan ia tidak berfungsi lagi.
“Kita perlu seimbang antara menjadi sebuah pakatan pembangkang yang padu dan memastikan pertembungan satu lawan satu terhadap BN pada pilihan raya umum akan datang. Kita tidak mahu segala-galanya diserahkan kepada BN dengan mudah
“Jadi ini menjelaskan kedudukan PKR, sedangkan kita menyedari dengan jelas perbezaan dasar dengan PAS, kita tidak harus menganggap mereka musuh. Kita perlu melibatkan diri mereka untuk mencari penyelesaian pragmatik kepada pertembungan satu lawan satu,” katanya.
Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu mengambil pendekatan yang inklusif untuk menubuhkan sebuah gabungan baharu dan ia satu proses yang berterusan bagi menjadikan semua parti pembangkang bersatu.
“Kita perlukan semua pihak, dan kita semua menghadapi masalah, tetapi kita tahu realiti sebenarnya.
“Saya dalam proses berbincang dengan PAS, DAP dan Amanah,” kata Dr Wan Azizah selepas mengumumkan penyertaan bekas pemimpin kanan PAS, Datuk Kamarudin Jaafar dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam partinya.