Otai Reformis, kumpulan aktivis reformasi pada 1998, hari ini mengumumkan akan mengadakan program berbasikal untuk keamanan pada akhir bulan depan sempena Hari Keamanan Sedunia.
Program yang bertajuk “Cycle4peace and Harmony” (kayuh untuk keamanan dan keharmonian) itu menggunakan tema baju berwarna biru.
“Biru untuk keamanan,” kata jurucakap kumpulan itu Shaiful Arifffin dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Shaiful berkata program itu bukan untuk membalas himpunan Baju Merah yang diadakan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) pada 16 September lepas.
“Kami mengalu-alukan rakyat Melayu, Cina dan India untuk turut serta dalam program berbasikal ini.
“Kami ingin sampaikan kehidupan aman damai dan tolak isu perkauman,” katanya.
Mereka bagaimanapun meletakkan sasaran lima kali ganda peserta berbanding kehadiran dalam himpunan Baju Merah sebelum ini.
“Kalau Jamal (Md Yunos) cakap satu juta untuk himpunan (Baju Merah), kita letak sasaran lima juta peserta untuk program berbasikal ini,” sindir anggota Otai Reformis Mustapa Mansor.
Program berbasikal itu akan dimulakan di Kuala Lumpur dan peserta mungkin akan berkayuh ke Penjara Sungai Buloh untuk menyatakan setiakawan dengan Ketua UmumP KR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan di situ.
Tarikh tepat dan laluan berbasikal akan diumumkan dalam sidang media yang lain.
Sementara itu, mengenai himpunan di depan Jalan Street, Kuala Lumpur pada Sabtu ini, Shaiful berkata ia mungkin tidak benar susulan tiada maklumat jelas mengenainya.
Semalam Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata tidak akan membenarkan jika ada pihak ingin mengadakan perhimpunan di Jalan Petaling Street.
Beliau mengulas cadangan pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan di Jalan Petaling Street bagi membantah kehadiran warga asing yang menjalankan perniagaan termasuk menjual barangan larangan dan tiruan.