Penutupan sejumlah kilang dan peniagaan sejak pertengahan tahun ini mengakibatkan ramai pekerja dari kalangan masyarakat Cina yang kehilangan mata pencarian. Sebahagian daripada mereka mula berhijrah ke negara lain untuk mencari kerja.
Satu daripada tempat yang paling digemari oleh pencari kerja kaum Cina ialah di Singapura, kerana ia paling dekat dengan Malaysia. Selain itu, negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Hong Kong dan Taiwan juga adalah di antara destinasi yang popular.
Daniel Khoo, 40 tahun, memberitahu wartawan Suarapakatandaily bahawa beliau sudah pun menempah tiket ke Britain untuk mencari kerja di Chinatown, London. Dan beliau telah memberitahu persatuan Cina yang dianggotainya mengenai destinasi beliau dengan tujuan persatuan Cina di Malaysia dan Britain boleh membantunya sekiranya mengalami sebarang masalah di perantauan.
Daniel berkata, beliau terpaksa meninggalkan isteri dan dua orang anaknya dan menjadi buruh asing demi masa depan anak-anak mereka. Beliau berbuat begitu bukan kerana sukarela tetapi kerana peluang pekerjaan di sini sudah berkurangan.
“Di sini pekerjaan semakin kurang kerana sekarang kilang-kilang tidak lagi mengambil pekerja baru apabila permintaan untuk barangan berkurangan. Kalau kilang tersebut masih mengekalkan jumlah pekerja yang sama, itu pun sudah dikira baik,” kata Daniel.
Beliau juga mengulas serba sedikit mengenai halatuju politik di negara ini dan memberi pendapat bahawa situasi yang semakin rasis di negara ini akan menjejaskan masa depan ekonomi negara apabila para pelabur asing semakin ramai menarik modal pelaburan mereka keluar dari negara ini.
“Inilah sebab mengapa ada kilang ditutup,” ujar beliau.