Ketika negeri PR, Pulau Pinang dan Selangor semakin mantap projek wi fi percuma yang memudahkan rakyat mengakses internet, projek wi fi percuma di Perak seakan tinggal kenangan.
Projek tersebut pernah diumumkan oleh Menteri Besar Tajol Rosli tetapi sehingga BN memerintah semula Perak, ia tidak kedengaran lagi.
Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al Hiss mendesak menteri Besar sekarang Dr Zambry Kadir memberi penjelasan mengenai projek wi fi yang terbengkalai itu.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) terpanggil ingin mendapat penjelasan daripada Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir berhubung projek Wifi Percuma di seluruh bandar di Negeri Perak semasa beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknologi Maklumat Negeri Perak dan ketika Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali sebagai Menteri Besar Negeri Perak yang menjelaskan bahawa kelancaran projek ini akan dinikmati sepenuhnya menjelang tahun 2007 lagi.
“Kami mempersoalkan kos yang menelan belanja berjumlah RM20 Juta ini bagai hilang punca entah ke mana dan bagaimanakah keadaan peralatan yang telah dibeli dahulunya bagi projek ini sekarang. Bagi kami, Kerajaan Negeri Perak perlu telus berkaitan ketirisan projek yang berimpak besar ini. Kami juga memohon penjelasan daripada mantan Menteri Besar ketika itu untuk memperjelaskan keadaan sebenarnya. Jika dilihat laporan berita semasa projek ini diumumkan, impak kepada manafaat kepada rakyat amat baik dan satu-satunya contoh kepada seluruh Negara ketika itu.
“Bagi kami, apakah sudah berlaku terhadap projek besar ini atau ada penyelewangan telah berlaku terhadapnya. Walaupun projek perintis ini telah dilakukan di Daerah Gerik, bagaimana dengan Daerah atau Bandar yang turut diumumkan ketika itu sehingga sekarang? Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapi kertas siasatan projek tersebut yang berlaku penyelewangan? Jika ada, siapakah yang jelas melakukan ketirisan di dalam projek ini?,” katanya