Tiga orang pelajar menjalankan satu eksperimen sosial untuk melihat reaksi rakyat Malaysia terhadap retorik sentiman perkauman.
Dalam eksperimen itu, pelajar S Sathisvaran, Choo Jian Tatt dan Muhd Shukri Rahmad – dengan mata yang ditutup – bergilir-gilir memegang pelekat yang mengisytiharkan diri mereka sebagai “Malaysian first’ dan etnik mereka kedua.
“Peluk saya jika anda setuju!” pelekat itu berbunyi.
Idea ini muncul apabila ketiga-tiga mereka – semuanya pelatih di Tarantella Pictures – berbincang idea mengenai eksperimen sosial yang penting kepada mereka dan dekat di hati rakyat Malaysia.
“Saya sentiasa mahu menghasilkan sebuah filem yang mempunyai tema berbilang kaum,” kata pelajar media dan komunikasi, Sathisvaran kepada Malaysiakini.
Ramai yang memeluknya dan itu membuat dia amat teruja.
Pengarah Urusan Tarantella Pictures Sharad Sharan berkata pelajar itu mahu memperlihatkan keindahan masyarakat Malaysia.
Menurutnya ia adalah hasil usaha ketiga-tiga pelajar tersebut, dengan Tarantella hanya menyediakan beberapa sokongan teknikal.
Tetapi menurut Sathisvaran, ia terpaksa berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan Tarant
ella kerana pihak pengurusannya bimbang topik itu mungkin “terlalu sensitif”.
“Saya perlu menjelaskan bahawa ia hanya satu mesej (yang kami mahu) luahkan di luar sana dan menguji responnya.
“Kami hampir membatalkan idea tersebut kerana sensitivitinya. Tetapi saya tetap bertegas dan mengambil risiko,” katanya.
Amat tersentuh
Usahanya berbaloi. Seorang yang kebetulan lalu di situ telah merakamkan gambar aksi Sathisvaran itu yang turut dikongsi lebih 3,000 kali dalam masa 24 jam.
Ashley Grieg, yang menyiarkan gambar tersebut, berkata Sathisvaran menitiskan air mata selepas dia menerima pelukan dan kata-kata semangat dari rakyat pelbagai kaum.
“Kerana begitu tersentuh, saya menghampirinya dan memberinya satu pelukan yang lama dan membisikkan kepadanya: “… Tak kira sesiapa saja anda, saya berbangga dengan anda.Saya bangga dengan apa yang anda lakukan di sini. Terima kasih kerana memberi kami semua harapan bahawa ada hari esok yang lebih baik menunggu kita. ”
“Saya beredar dengan genangan air mata… dan suatu harapan baru untuk negara kita Malaysia yang tercinta ini,” tulis Grieg.