SIAPA BAKAL TIMBALAN BARU ABDUL HADI ?
Satu fakta di dalam organisasi atau hiraki PAS ialah SYURA.
Beberapa kali SYURA digunapakai bagi merungkai berbagai polemik dalam PAS baik di cawangan, kawasan, negeri dan juga peringkat pusat.
Dalam PAS sejak dari awal mempunyai keahlian dari semua peringkat seperti kalangan ulamak, pegawai kerajaan, penuntut institusi pendidikan agama dan juga sekular, bekas pegawai kerajaan dan swasta serta juga dari golongan petani, nelayan, peneroka, pemandu, kerani, buruh kasar dan pelbagai lagi cabangnya.
PAS sejak dahulu masih mengamalkan sistem demokrasi seperti lain-lain parti politik, memilih, dipilih dan terpilih.
Ada pemimpin yang naik dalam carta tertinggi kerana dipilih oleh perwakilan, ada dipilih oleh pucuk pimpinan, ada menggantikan apabila berlaku kematian, ada yang mempunyai bintang di luar seperti bekas pemimpin parti tertentu atau NGO, ada yang naik sedikit demi sedikit mendaki dari bawah.
Abdul Hadi Awang mempunyai bintang yang cerah kerana mempunyai kelulusan agama dan berpengalaman semasa menyertai gerakan Islam semasa menuntut di luar negara dan beliau adalah ahli PAS semasa berangkat mengaji ke luar negara. Naik dalam carta pemimpin PAS setelah PAS Terengganu kekurangan pemimpin corak baru semasa dan selepas era Asri Muda dan melalui kepimpinan dan kehebatan pengajian agama yang diterapkan kepada seluruh warga Terengganu maka pada pilihanraya 1982 PAS dapat memenangi semula 5 kerusi DUN di sana.
Dari Naib Yang Di Pertua Agung beliau mengisi kekosongan kerusi Timbalan YDP PAS Pusat setelah al marhum Fadzil Noor mengantikan al marhum Yusuf ar Rawa selaku Presiden (selepas dipinda nama no 1 PAS). Sepatutnya Nakhaei yang berada dalam ranking no 2 PAS tetapi kerana tertarik dengan dasar nilai-nilai Islam yang dibawa Anwar Ibrahim maka dia masuk Umno.
Selepas itu Abdul Hadi Awang tetap dengan jawatannya sebagai Timbalan dan hanya selepas Allah SWT memanggil hambaNya Fadzil kembali kesisinya maka Abdu Hadi memangku jawatan Presiden dan disahkan kemudianya sebagai Presiden pada tahun berikutnya.
Nasharuddin Mat Isa bekas pensyarah UIA dan UKM menaiki tangga hiraki kepimpinan dalam PAS selepas keuzuran Abdul Halim Arshat sebagai Setiausaha Agung PAS dan ketika itu masih dipangku oleh Hishamuddin Yahya sebagai memangku kerja-kerja SUA PAS sahaja dan hendak dilantik penuh namun keputusan mesyuarat Dewan Harian PAS sebaliknya dan akhirnya calon cadangan beberapa pemimpin tertinggi parti seperti Abdul hadi sendiri bersama Hassan Shukri, Harun Taib dan Mahfuz Omar berjaya dinobatkan sebagai SUA PAS menggantikan Abdul Halim yang uzur.
Sebelum daripada itu Nasharuddin Mat Isa hanyalah AJK Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat dibawah seliaan Harun Taib dan juga ahli Lajnah Antarabangsa PAS Pusat sahaja. Tetapi beliau menaiki tangga kepimpinan PAS Pusat dengan begitu cepat melalui kepercayaan anggota Dewan Harian kepadanya kerana berkebolehan berbahasa Arab dan Inggeris serta bersedia meletakkan jawatan sebagai pensyarah universiti.
Walaupun baru dalam saf pimpinan PAS namun kejayaan merebut kerusi parlimen YAN dalam PRU 1999 di Kedah menaikkan lagi saham beliau dan mnejadi orang kepercayaan Presiden ketika itu dan akhirnya beliau menyebut Fadzil Noor sebagai mentornya dalam politik.
Perkara yang mengejutkan ialah kekalahan veteran PAS Hassan Shukri ketika mencabarnya sebagai Timbalan Presiden membawa kesan yang mendalam pada perwakilan PAS begitu juga dengan cabaran Harun Taib nama besar dalam PAS juga gagal menurunkannya dari kerusi Timbalan Presiden.
Itulah nama Nasharuddin Mat Isa wala banyak mana sekalipun ranjau dan duri yang ditempuhinya namun aura beliau sebagai seorang ulamak muda berjaya meletakannya sebaris dengan nama pemimpin besar PAS mungkin segah dengan Sudin Wahab. Wahab Yunus, Zahari Awang, Abu Bakar Hamzah dan juga mungkin Prof Dzulkifli Muhammad.
Kini beliau akan berhadapan buat kesekian kalinya dengan nama-nama yang juga hebat seperti Mohamad Sabu, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menurukannya dari takhta Timbalan Presiden PAS kali ini. Banyak pihak tahu bahawa pencalonan TITM adalah dari meja ulamak dan juga golongan yang nampak kelemahan Nasha.
Bagi Mohamad Sabu pula beliau masih ingin menyumbang jasa melalui jawatan ke 2 dalam PAS dan ingin membantu Presiden menghadapi PRU 13 nanti dan dengan satu hasrat menawan Putrajaya.
bersambung.