Parti Amanah negara prihatin terhadap tragedi rempuhan di Mina yang mengorbankan ratusan nyawa pada 10 Zulhijah 1436 bersamaan 24 September 2015 lalu.
Demikian disuarakan Naib Presiden Amanah Ustaz Hj Hasanuddin Yunus. Tragedi yang menyebabkan lebih dari 800 jemaah haji maut dan 900 cedera itu menurut beliau adalah yang terburuk sejak 1990 apabila 1426 orang terkorban dalam terowong Al-Muasseim.
“Umat Islam baru saja dua minggu lepas dikejutkkan oleh berita kematian 107 jemaah dan 400 orang cedera dihempap kren gergasi di Kota Suci Mekah.
“Amanah meyakini kejadian ini adalah takdir Allah s.w.t dan hadiah syurga untuk mereka yang terkorban jika niat amal mereka adalah hanya kerana-Nya.
“Sesungguhnya, setiap tragedi ada pengajaran dan mesej yang tersirat dari Allah s.w.t.
Kami turut bersyukur, dengan pengurusan Tabung Haji yang amat baik, tiada jamaah dari Malaysia yang terlibat dalam peristiwa ini.
“Mungkin jemaah kita yang terkenal dengan berbudi bahasa, patuh kepada arahan dan berdisiplin tinggi semasa berada di tanah suci menjadi sebab yang menyelamatkan mereka.
“Namun, sayugia diingatkan ibadah haji bukanlah ritual yang hendak diamalkan di Tanah Suci sahaja. Ibadah Haji harus membentuk minda yang terurus, kesedaran sivik yang tinggi dan sikap menghormati undang-undang,” katanya dalam kenyataan media.
Seterusnya beliau berkata, disiplin juga merangkumi pematuhan undang-undang lalu lintas dan pergerakan laluan, menghormati arahan jalan raya, prihatin terhadap orang kurang upaya dan tidak membuang sampah di merata tempat di kalangan seluruh jamaah haji.
“Oleh itu, di atas kesedaran ini, Amanah menyeru Kerajaan Saudi mengambil tiga tindakan komprehensif yang berikut dengan segera iaitu membuat perancangan yang lebih rapi tentang keperluan logistik dan pengurusan infrastruktur di lokasi ibadah haji.
“Mengurus keperluan modal insan dengan lebih profesional dalam mengurus krisis dan bencana (crisis and disaster management).
“Menyediakan tenaga petugas yang pakar dan terlatih bagi mengawal pergerakan kumpulan besar dan menangani krisis melalui prosedur, piawai dan pelan evakuasi yang efisien dan efektif.
“Amanah juga ingin menyeru kepada Tabung Haji, sebagai langkah proaktif, memasukkan dalam silibus latihan bakal haji, sekurang-kurang asas menghadapi krisis dan bencana. Latihan ini seterusnya boleh dikongsi dengan negara-negara Islam yang lain,” katanya.
Katanya lagi, Amanah mengajak rakyat Malaysia untuk bersama membina bangsa Malaysia yang lebih cemerlang dan terbuka, ke arah menjadi warga baik yang menghormati nilai, memelihara kesucian agama, kehormatan diri, kewarasan akal, kesejahteraan harta benda (alam sekitar) dan kemurniaan keturunan.