“Ugutan untuk merusuh yang dibuat oleh puak-puak tertentu sejak beberapa hari lalu merupakan faktor utama menyebabkan kejatuhan nilai matawang ringgit,” kata seorang pelabur asing berusia 65 tahun yang memiliki sebuah kilang di Selangor.
Pada hari Jumaat, 25 September 2015 jam 2.30 petang, nilai ringgit berbanding matawang Amerika Syarikat susut RM4.44 untuk AS$1.
Pelabur asing yang enggan namanya disiarkan itu mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang telah berjaya mengawal keadaan dengan sempurna di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada 16 September dan 26 September lalu.
Seorang lagi usahawan dalam sektor hartanah memberitahu wartawan Suara Pakatan Daily bahawa semua kaum harus hidup secara harmoni di negara ini seperti yang sentiasa diuar-uarkan dalam iklan yang mempromosikan Malaysia negara aman damai di mana rakyatnya hidup secara muhibbah.
“Kalau sering ada isu rasis yang timbul, maka pelabur asing akan lari dari negara ini dan akan menyebabkan nilai ringgit menjadi lebih lemah kerana modal pelaburan mengalir keluar. Inilah yang sedang berlaku sekarang,” kata beliau yang meminta dirahsiakan identiti.
Kedua-dua usahawan itu bersetuju bahawa kerajaan harus bersikap tegas terhadap puak yang rasis.
Mereka juga menyatakan perbuatan puak rasis yang mensasarkan kebencian terhadap masyarakat Cina memburukkan nama Malaysia di serata dunia.
“Ada juga ramalan yang menyatakan bahawa nilai ringgit akan sampai ke paras RM5 untuk AS$1 kerana amalan politik yang rasis di negara ini,” kata beliau lagi.