Ungkapan Pas cukup kuat; tidak akan bertahaluf dengan pengkhianat dan Pas mampu bergerak sendirian cukup popular diucapkan pemimpin utama parti itu kebelakangan ini.
Baru-baru ini, presiden Hadi Awang menghamburkan kata-kata menolak secara mutlak menyertai Pakatan Harapan yang dibentuk oleh DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Hadi cukup yakin dengan kekuatan Pas secara sendirian menghadapi pilihan raya umum ke 14 (PRU). Baginya 1.3 juta ahli parti sudah cukup untuk memberi kemenangan besar kepada Pas dan menguasai sebahagian kerusi Melayu di Semenanjung.
Lebih hebat lagi, Hadi berkata sudah sampai masanya Umno BN direhatkan dan Pas diberi peluang ‘memerintah dengan Islam’. Beliau berharap ideologi Islam akan diterima oleh Cina dan India. Analogi mudah Hadi jika fahaman maxis boleh dijadikan pegangan hidup oleh pelbagai bangsa; inikan pula ideologi berteraskan Islam yang agamanya dianuti semua kaum.
Menumpang gelombang reformasi
Jika direnung ucapan presiden Pas ini tidak banyak berbeza dengan situasi beliau memerintah Terengganu pada 1999 – 2004. Ketika itu, dengan polisi memansuhkan cukai pintu dan tol di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu Hadi berasa Pas cukup kuat dan diterima baik rakyat negeri.
Beliau menolak jauh-jauh teori kejatuhan kerajaan BN pada PRU 1999 akibat gelombang Reformasi. Tidak menerima kenyataan bahawa anak-anak rantau Terengganu yang bekerja di Kuala Lumpur dan bandar-bandar di Pantai Barat pulang memberitahu ibu dan ayah jangan mengundi Umno BN jika tidak mahu bersubahat menanggung dosa memfitnah Anwar Ibrahim.
Anak-anak perantau itulah – sebelum PRU 1999 – mengkhabarkan kepada penduduk kampung bahawa orang Melayu di Pantai Barat telah menolak Umno dan kerajaan persekutuan akan bertukar. Pas pada hakikatnya menumpang gelombang reformasi di Terengganu.
Hukum Hudud
Sebaliknya, Hadi berpendapat undi yang diterima Pas adalah kerana rakyat Terengganu mahukan Hudud. Lalu beliau membawa Hudud ke sidang Dun pada tahun 2002. Lebih jauh, beliau juga membentang Dokumen Negara Islam pada 2003 kerana yakin penduduk negeri amat mahukan pemerintahan Islam.
Hadi tidak ambil tahu pengangguran tinggi dalam kalangan rakyat dan ketidak puasan hati mereka terhadap prestasi beberapa Adun Pas yang sering tidak melawat kawasan.
Kesannya, pada PRU 2004, Pas kalah Teruk di Terengganu. Hadi sendiri kalah di kerusi parlimen Marang yang dipertahankan sejak 1990an.
Kerjasama dengan Umno
Sebelum ini, banyak pihak membayangkan Pas akan bekerjasama dengan Umno bagi mengukuhkan kedudukan parti itu selepas menolak menyertai Pakatan 2.0. Namun ucapan Hadi terbaharu meminta Umno ‘direhatkan’ dan Pas diberi peluang memerintah ‘mencengangkan’ para pemerhati politik.
Pas seolah-olah terlampau kuat dan ampuh. Kelihatannya mempunyai penyokong di segenap penjuru tanah air. Seolah-olah tiada seorang pun ahli Pas yang meninggalkan parti dan tidak ada seorang pun pemimpinnya yang menubuhkan parti baharu, Amanah.
Bagaimanapun, sesiapa yang mengenali rapat Hadi tidak akan terkejut dengan pemikiran beliau. Hadi tidak membaca politik secara mendalam sebagaimana presiden Pas sebelum ini, Fadzil Noor atau Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat. Beliau banyak mendengar nasihat dalam membuat keputusan.
Sekiranya penasihat beliau tersilap maka keputusan presiden Pas itu juga silap. Tidak mustahil ketika ini penasihat beliau membayangkan seluruh rakyat Malaysia menanti-nantikan kepimpinan Pas. Penyokong Umno yang membenci PM Najib akan mengundi Pas. Atau Cina dan India menolak DAP dan PKR serta bersedia mengundi Pas.
Maka tidak dapat ditolak Hadi akan mengulangi kesilapan ketika memerintah Terengganu. Menganggap hanya Pas pilihan terbaik rakyat.
Realitinya, Pas adalah penumpang tegar gelombang Anwar Ibrahim sejak PRU 1999. Sekiranya Pas nekad keluar dari gelombang itu maka prestasi parti itu akan kembali mengecil sedikit demi sedikit. Trend pengundian yang berasaskan gabungan parti menentang BN tidak berubah sejak 1999.
Masa depan tak pasti
Pas boleh mengeluarkan fatwa haram mengundi parti selain Pas, namun adakah ahli akan mengikutinya? Menghadapi pengundi yang matang tidak sepatutnya Pas melayan mereka seperti itu. Pas perlukan hujah. Di manakah hebatnya berjuang sendirian?
Sedangkan pamimpin Pas sebelum ini seperti Fadzil dan Nik Aziz sering membawakan contoh seekor kambing yang mudah diserang serigala. Namun sekawan kambing akan lebih selamat berhadapan dengan serigala BN.
Pas akan menuju masa depan yang tidak pasti. Tidak dapat dielakkan sekiranya tempoh persediaan pilihan raya lebih lama – sehingga 2018 – dan membenarkan Amanah mengambil alih ahli-ahli Pas maka parti itu akan merosot sekecil dekad 1980an.
Atau sekurang-kurangnya Pas mengambil iktibar. Ketika mereka menang di Terengganu dalam PRU 1999 keahlian Pas sekitar 400,000; ketika mereka kalah PRU 2004 keahlian melepasi 500,000. Maka tidak mustahil dengan keahlian 1.3 juta dan separuhnya menyertai Amanah, mereka juga akan kalah.