Dengan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Parti Amanah Negara (Amanah) kini secara rasminya menjadi parti politik yang sah dan bebas bergerak.
Setiausaha Agung Amanah, Hj Mohd. Anuar Tahir, mengucapkan ribuan terima kasih terhadap tindakan profesional ROS yang mudah menerima perubahan nama Amanah berbanding parti pembangkang lain yang mengalami kesukaran sebelum ini.
“Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), khususnya Ketua Pengarah Datuk Mohammad Razin Abdullah, atas kelulusan penggunaan nama Parti Amanah Negara.
“Dengan pengumuman beliau kepada media semalam, maka telah sah bahawa Parti Amanah Negara kini adalah sebuah parti politik berdaftar dan boleh memainkan peranannya selaras dengan hak yang diperuntukkan perlembagaan, seperti parti-parti politik lain.
“Sejak dari awal, ROS telah memberi kerjasama sangat baik kepada kami dan kami juga sangat menghormati sikap profesional yang ditunjukkan mereka,” katanya dalam kenyataan media kepada Suarapakatandaily.
Hj Anuar juga mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia di atas pengorbanan dan kepercayaan yang telah diberikan untuk merealisasikan penubuhan Amanah.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga kami rakamkan kepada semua pihak yang telah menyumbang apa sahaja dalam usaha menjayakan kewujudan parti ini.
“Tidak ketinggalan juga, kepada seluruh rakyat Malaysia, sama ada parti politik, NGOs dan individu prihatin, yang telah memberi sokongan dan dorongan berterusan kepada kami sejak daripada awal sehinggalah parti ini diluluskan.
“Akhir sekali, mewakili Parti Amanah Negara, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersama kami melakar politik Malaysia baharu dengan pendekatan inklusif dan progresif menerjemahkan “Islam Rahmat Untuk Semua”,” katanya lagi.