Peguam Negara diseru agar mengkaji semula pertuduhan yang dikenakan ke atas pensyarah undang-undang Dr Azmi Shahrom kerana selaku ahli akademik, menjadi tugas beliau berkongsi ilmu yang dimilikinya dengan masyarakat, kata Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak).
Setiausaha Agung Gerak, Rosli H. Mahat berkata, ahli akademik bukan robot yang hanya mengajar dan menyelidik, sebaliknya menjadi tanggungjawab mereka memberikan sumbangan kepada orang ramai.
“Para akademik bukannya robot hanya untuk mengajar dan buat penyelidikan. Kami perlu menyumbang balik kepada masyarakat atas kebebasan akademik yang diberikan.
“Kami, para akademik Malaysia mengesa Peguam Negara mengkaji semula dan menarik balik pertuduhan terhadap Azmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Gerak terkilan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, di mana Azmi gagal mendapatkan pengisytiharan terhadap ketidakakuran Akta Hasutan 1948 dengan Perlembagaan Malaysia.
“Gerak amat bimbang akan kesannya terhadap kebebasan akademik di Malaysia, terutamanya terhadap kebebasan bersuara.
“Dengan pengesahan tersebut, mahkamah melanjutkan kegunaan sesuatu undang-undang boleh dan sudah pun digunakan bagi menyekat kebebasan akademik,” kata Rosli.
Katanya, dengan menyekat kebebasan akademik, seperti dilakukan terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya itu, universiti di negara ini tidak akan mampu mencapai kedudukan tinggi di peringkat antarabangsa.
“Berikan ruang kepada kami untuk suara akademik. Kita tidak akan dapat membentuk universiti kelas dunia dengan ranking tinggi jika para akademiknya tidak diberi kebebasan akademik,” katanya.
Azmi sebelum ini dituduh di bawah Akta Hasutan kerana memberi pandangan profesional beliau sebagai seorang ahli akademik undang-undang, terhadap satu artikel yang disiarkan sebuah laman portal.
Rosli berkata, ahli akademik bertanggungjawab berkongsi ilmu bukan sahaja dengan pelajar dan masyarakat akademik, tetapi juga dengan masyarakat umum.
“Ini adalah sebahagian dari sumbangan wajib para akademik kepada masyarakat,” katanya.