Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub menyifatkan lenggok bahasa kenyataan Majlis Raja-raja Melayu semalam sebagai isyarat meminta Perdana Menteri Najib Razak berundur segera sebelum keadaan negara lebih parah.
Katanya, teguran Majlis Raja-raja itu demi memulihkan kembali ekonomi berikutan kejatuhan nilai mata wang yang disebabkan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beberapa skandal lain yang membelit batang tubuh PM.
“Boleh diterjemahkan, lenggok bahasa, keluhuran budi, adat dan budaya bangsa Melayu dari kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tersebut bertujuan menasihatkan Dato’ Seri Najib Razak berundur sebagai Perdana Menteri Malaysia kerana gagal menyelesaikan isu 1MDB dengan segera dan turut menjejaskan ekonomi negara.
“Banyak pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung isu 1MDB ini termasuk masyarakat kampung, ahli Umno sendiri dan terkini, pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Gabenor Bank Negara Tan Sri Dato’ Ungku Dr Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz dan bekas Ketua Peguam Negara, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani Patail.
“AMANAH merasakan ia adalah isyarat jelas bahawa Dato’ Sri Najib perlu berundur dengan segera kerana beliau masih gagal membuktikan ketelusan dan keyakinan semua pihak termasuk Majlis Raja-Raja Melayu tentang isu 1MDB yang turut dikaitkan dengan peribadi beliau yang sehingga kini belum ‘dibersihkan’ lagi di mahkamah,” kata Sallahuddin dalam satu kenyataan media.