PAS PERLU LEBIH BERANI BEKERJASAMA
Lantaran kekalahan merebut jawatan Timbalan daripada penyandang Nasharuddin Mat Isa pada penggal lalu maka kumpulan Mad Sabu yang berpengkalan di PAS Kawasan Bukit Bintang kali ini sekali lagi mengemukakan pencalonan untuk beliau. Dengan menggalas harapan dan keyakinan apabila penyertaan Husam Musa merugikan dan mengagalkan Mad Sabu ketika itu maka kali ini kumpulan ulamak pula menyokong Tuan Ibrahim bagi mencabar Nasha.
Presiden PAS sangat memerlukan pembantu yang boleh menggerakkan parti dan dalam pada yang sama boleh mengulas dan menjawab pelbagai isu yang dilemparkan oleh musuh daripada BN dan NGO pro BN. Mungkin khalayak melihat kelemahan Nasha dalam isu ini maka mereka berpendapat bahawa sudah tiba waktunya Nasha direhatkan sementara dan perlu muka baru membawa misi dan visi yang sesuai dengan Pakatan Rakyat.
Bagi kumpulan dari luar PAS seperti DAP dan PKR nampaknya mereka menyukai Mad Sabu menang kerana latarbelakang Mad Sabu bukan dari kelulusan agama. Umno pula turut juga campur mulut bila menyatakan Mad Sabu tak layak menduduki kerusi Timbalan bagi melagakan ahli PAS dan memecahbelahkan perpaduan dan keyakinan ahli.
Apapun Presiden PAS tidak pernah secara terangan meluahkan rasa tidak puashatinya dengan Timbalannya atau seluruh AJK PAS Pusat. Ini kerana perangai dan sifat Abdul Hadi yang bukan penyibuk dan mengamalkan budaya mengumpat politik sesama rakan. Sejak beliau menduduki kerusi bawah ataupun atas beliau sentiasa mengutamakan agama dan bukan menurut perasaan.
Sekalipun Abdul Hadi dihimpit dengan kes Hasan Ali di Selangor dan juga Khalid Samad berkenaan isu kerajaan perpaduan dengan UMNO khususnya di Selangor namun cara Abdul Hadi mengawal keadaan amat menyenangkan semua ahli. Cuma PAS KAwasan Bukit Bintang yang hanya mempunyai ahli asas bagi membentuk kawasan sahaja berani dan kekadang dianggap tidak ‘siqah’ taat kepada pimpinan apabila mencalonkan calon baru bagi jawatan Presiden namun seluruh negara menolaknya.
Presiden kali ini tidak menampakkan biasnya kepada mana-mana calon namun isyarat jelas perlu difahami oleh semua perwakilan apabila melihat kepada perjuangan PAS dalam konteks yang lebih luas dan kompleks apabila tiga (3) kategori calon diketengahkan.
Tuan Ibrahim Tuan Man bukan asing lagi bagi semua lapisan ahli PAS, Mohamad Sabu pula bukan sebarangan tokoh apabila berjaya menyelesaikan kes fitnah terhadapnya semasa menjadi ahli parlimen PAS di Kelantan. Seorang bekas tahanan ISA beberapa kali dan sering mendapat undangan seluruh negara bagi menjelaskan isu-isu semasa dan mampu mendapatkan sokongan orang muda.
Cuma isu yang membelit Mohamad Sabu sekarang dan dulu ialah serkap jarang semua pihak bahawa Mohamad Sabu terlibat dengan pengembangan Mazhab Syiah dan pernah hampir-hampir dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti semasa dipengerusikan oleh ABdul Hadi selaku Timbalan kepada Fadzil Noor, namun dengan campurtangan Presiden maka Mad Sabu terselamat lagi. Sedangkan bukti yang dikumpulkan amat menyakinkan JK Disiplin untuk bertindak keatas beliau. Ini kerana keputusan PAS Pusat untuk tidak membenarkan ahlinya terlibat dengan ajaran mazhab Syiah.
Oleh itu seluruh perwakilan PAS kali ini perlu menentukan bentuk dan acuan AJK PAS Pusat yang baru untuk meneruskan agenda bersama Pakatan Rakyat dan memperkukuhkan PAS bersama dasar-dasarnya yang tersendiri dan juga menentang usaha Umno dan BN untuk menghancurkan persefahaman bersama PKR dan DAP sekarang ini.
Kesimpulannya jika Dato Tuan Ibrahim dipilih maka golongan ulamak terus memonopli jawatan tertinggi dan jika Mohamad Sabu dipilih maka PAS akan menerima idea-idea terkini untuk terus digarap mencapai kemenangan yang berganda dan jika mengekalkan Nasharuddin Mat Isa maka PAS akan tetap seperti yang ada sekarang.
Kepada seluruh PERWAKILAN PAS selamat bermuktamar dan memilih pemimpin yang terbaik dikalangan saudara semua.