Muktamar PAS kali ke-57 menyaksikan pertandingan sengit di antara golongan profesional dan ulama. Ada yang menggelarkan mereka kelompok Erdogan, iaitu kelompok perubahan yang berhadapan dengan kelompok ortodoks.
Apa pun istilah yang diketengahkan bukan datang dari PAS atau media alternatif sebaliknya dilabelkan oleh media arus perdana yang pro-BN bagi memecah-belahkan kepimpinan PAS kepada beberapa puak.
Tumpuan pertandingan kali ini tentulah jawatan Timbalan Presiden yang direbut oleh tiga tokoh utama PAS; Ustaz Nasharudin Mat Isa mempertahankan kedudukan, Mohammah Sabu dan ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pesaing.
Jawatan Timbalan agak sensitif kerana ia dekat dengan Presiden dan boleh mempengaruhi Presiden serta Dewan Harian PAS dalam membuat keputusan penting mengenai hala tuju parti. Nasharudin sebelum ini dikaitkan dengan kerajaan perpaduan bersama Umno. Ada blog yang memaparkan gambar beliau bersama kepimpinan Umno bagi mempengaruhi perwakilan yang akan mengundi bahawa Nasharudin dibimbangi akan dipengaruhi parti lawan.
Namun, tidak kurang juga kempen yang yang menyentuh lawan Nasharudin. Bagaimanapun Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat tidak mampu digugat oleh mana-mana kempen menerusi blog dan pendapat umum di kalangan perwakilan PAS. Ini kerana imej ulama yang beliau bawa dan hubungan tali persaudaraan dengan Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat memberi jaminan Tuan Ibrahim tidak akan bersekutu dengan Umno sebagaimana Nik Aziz yang keras menolak parti sekular itu.
Calon Naib Presiden pula lebih tertumpu kepada Husam Musa, Nizar Jamaludin, Mahfuz Omar serta Salahudin Ayub. Calon lain tidak begitu diperkatakan. Husam yang gagal dalam perebutan Timbalan Presiden dua tahun lalu walaupun didakwa mendapat restu Nik Aziz kali ini dijangka mudah untuk mengambil kedudukan Naib kerana kekuatan jasanya membangunkan Kelantan bersama Nik Aziz. Nama Husam terkenal di pantai timur sebagai arkitek pembangunan semula Kota Baharu dan beberapa bandar satelit di Kelantan. PAS tentunya inginkan seorang yang cerdik ekonomi bagi menaikkan imej parti itu menjelang pilihanraya ke-13.

Perwakilan mengundi
Begitu juga calon yang disebut-sebut Nizar Jamaludin dijangka akan diberi tempat sebagai persediaan PAS menawan semula Perak dalam pilihanraya akan datang. Keberanian Nizar menghadapi Umno ketika rampasan kuasa 2009 dan rekod cemerlang beliau menjadi MB selama setahun di Perak amat dikagumi. Malah jika Nizar bertanding 2 tahun lalu ada kemungkinan beliau telah pun menjadi Naib Presiden.
Perebutan antara Mahfuz dan Salahudin mengisi dua lagi kekosongan menjadi tanda tanya siapa paling layak. Mahfuz lebih kelihatan menonjol.
Namun beberapa pemerhati politik berpendapat beliau mungkin direhatkan kali ini untuk memberi peluang kepada muka baru. Mahfuz tidak sukar untuk mendapat tempat dalam Dewan Harian PAS yang mentadbir parti itu. Sekiranya beliau kalah maka pastinya beliau dilantik menjadi Ketua Penerangan PAS berdasarkan aktifnya Mahfuz memberikan kenyataan media dan hubungan baik beliau dengan wartawan media alternatif.
Jamuan Mahfuz Untuk Wartawan
Jika para pemimpin Umno wajib memberi jamuan sebelum bertanding untuk merasuah penyokong atau meminta media menaikkan nama mereka berlainan dengan tradisi PAS. Pemimpin parti itu dilarang berkempen mempengaruhi melalui kebendaaan. Cukup dengan hanya trek rekod. Jadi jamuan kepada penyokong diberi selepas undian selesai.

Mahfuz dan wartawan alternatif
Dua jam selepas pengundian berakhir Mahfuz memberikan jamuan kepada wartawan dan para penyokongnya di restoran al Amin, Greenwood. Semua wartawan yang sering membuat liputan media ke atas beliau dijemput. Majlis ramah mesra itu bermula jam 8 malam dengan hidangan nasi Arab berlaukkan kambing dan ayam.
Kira-kira 20 orang wartawan hadir, makan sambil mendengar dan bertanya khabar mengenai masa depan politik beliau. Beberapa orang penyokong Mahfuz dari Kedah juga hadir sama
Keputusan terbaik
PAS pastinya akan keluar dari muktamar kali ini dengan pasukan yang amat mantap menghadapi PRU ke-13. Pasukan ini akan mengerunkan Umno kerana dibarisi pemimpin yang tidak akan berkompromi dengan mereka dan telah terbukti trek rekod serta karismatik mereka di mata rakyat.
Pasukan ini mungkin yang terbaik sepanjang sejarah penubuhan PAS malah lebih baik daripada pasukan di penghujung 1990an lalu yang diketuai oleh Ustaz Fadil Noor, timbalan Hadi Awang dan Naib ketika itu Hasan Ali serta beberapa tokoh veteran PAS.
Pasukan kali ini mampu menggamit imaginasi rakyat bahawa PAS adalah parti terbaik di dalam Pakatan Rakyat. Bijaksana dan dinamik. Malah PAS mungkin memenangi kerusi parlimen terbanyak pada PRU ke-13 nanti.