Dalam usaha untuk memposisikan Parti Amanah Negara (AMANAH) di peringkat antarabangsa, AMANAH telah mengadakan pertemuan dengan tojoh-tokoh gerakan Islam dunia termasuk Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Se-Dunia Prof Ali Alqaradaghi, di Doha, Qatar semalam.
Menurut Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, usaha itu dilakukan bagi mempromosikan perjuangan AMANAH dalam kalangan gerakan dan pertubuhan Islam di Timur Tengah.
“Pada pertemuan hampir dua jam itu, di samping memperkenalkan kewujudan AMANAH di persada politik Malaysia, turut dibincangkan isu-isu semasa berhubunh perkembangan mutakhir di Palestin, pergolakan negara-negara umat Islam di rantau teluk dan tidak ketinggalan juga perkembangan politik Malaysia.
“Perbincangan antara AMANAH dan Prof Ali Alqaradaghi berlangsung dalam keadaan mesra dan penuh dengan semangat ukhwah. Langkah awal ini sangat penting untuk AMANAH terus maju ke hadapan mendepani cabaran diplomatik antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mewakili AMANAH, deligasi tersebut disertai Ustaz Abd Ghani Shamsuddin, Timbalan Penasihat Umum AMANAH yang juga Ahli Pemegang Amanah Kesatuan Ulamak Muslim Se-Dunia serta Hj Asmuni Awi selaku Bendahari AMANAH Nasional.
Jelas Salahuddin lagi, misi rombongan mereka seterusnya adalah Istanbul, Turki di mana AMANAH akan menyertai Persidangan Gerakan Islam dalam isu Palastin bersama anggota gerakan Islam lain bermula 14 hingga 18 Oktober, 2015.