Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengkritik kenyataan Peguam Negara berkaitan penahanan dan pendakwaan terhadap Datuk Seri Khairudin Abu Hasan dan Matthias Chang bukan di bawah Sosma.
Sebaliknya, kata Mahfuz, Peguam Negara dengan sendirinya telah mendedahkan kekeliruan beliau terhadap SOSMA dan Kanun Keseksaan.
“Peguam Negara dalam kenyataannya berkata Khairuddin dan Matthias Chang tidak didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tetapi mereka berdua didakwa di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.
“Saya hairan bagaimanakah Peguam Negara tidak menyedari bahawa Seksyen 124L itu adalah Kesalahan Keselamatan yang tertakluk di bawah SOSMA. Betul mereka tidak didakwa di bawah SOSMA tetapi kesalahan yang didakwa itu adalah kesalahan yang berkaitan dengan SOSMA.
“SOSMA adalah akta prosedur bagaimana untuk menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan yang melibatkan kesalahan keselamatan. Mengikut Seksyen 3, SOSMA, “kesalahan keselamatan” ertinya kesalahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
“Jadual Pertama SOSMA menyatakan bahawa kesalahan keselamatan ialah kesalahan yang terkandung di dalam Bahagian VI dan Bahagian VIA Kanun Keseksaan,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Tambah beliau lagi, amat jelas bahagian VI Kanun Keseksaan adalah bermula dari Seksyen 121 sehingga Seksyen 130A. Seksyen 124L yang dituduh terhadap Khairuddin dan Matthias Chang berada di Bahagian VI Kanun Keseksaan justeru ianya tertakluk kepada SOSMA.
“SOSMA ini ialah suatu Akta berkaitan prosedur bagaimana hendak menangkap, menyiasat dan membicarakan kesalahan orang-orang yang disyaki melakukan kesalahan kegiatan keganasan. SOSMA bukan Akta Kesalahan. Ianya Akta Prosedur. Kesalahan melibatkan SOSMA diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan di Bahagian VI dan VIA.
“Justeru, saya minta Peguam Negara mohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekeliruan beliau .Saya juga meminta Peguam Negara membetulkan kembali kenyataan beliau dan membuat perakuan yang Khairudin dan Matthias Chang didakwa di bawah Kanun Keseksaan yang membabitkan kesalahan di bawah SOSMA atas tuduhan kononnya cuba sabotaj Perbankan Malaysia dan Sistem Kewangan Negara, dan memperakui yang Kerajaan telah menyalah guna kuasa di bawah SOSMA bagi melindungi PM Najib,” sinis Mahfuz.