Sebaik sahaja Pas mengumumkan kerjasama dengan Perkasa dalam tiga isu, para penyokong parti itu mula mempertikaikan hala tuju sebenar Pas di bawah kepimpinan Presiden Hadi Awang.
Pas sejak awal 1980an, apabila mengambil keputusan menyingkirkan Yang Dipertua Agung PAS Asri Muda mengambil garis ulama sebagai pemimpin politik. Sekali gus meletakkan Islam sebagai dasar tertinggi parti.
Dasar Asri yang mencampur-adukkan antara nasionalisme Melayu dan Islam pada era 1970an segera dimansuhkan. Pas di bawah kepimpinan Yusof Rawa selepas itu menekuni garis Islam dalam perjuangan mereka.
Dibantu oleh ulama muda terkenal seperti ustaz Nik Aziz Nik Mat, Pas menolak saki baki nasionalisme. Pemimpin progresif Muhammad Sabu dan Subki Latif pula meletakkan kepimpinan ulama sebagai rujukan unggul untuk melantik presiden, timbalan presiden dan ketua-ketua dalam hierarki yang lebih bawah.
Nasionalisme Umno asabiyah
Bermakna ulama dan Islam dimuliakan dan didahulukan. Pas dengan tegas menolak ajaran Umno mengutamakan nasionalisme dan Ketuanan Melayu. Pas melabelkan perjuangan mengutamakan bangsa sebagai asabiyah dan sesat.
Pas hanya menerima Islam sejati yang universal. Dalam kuliah Tok Guru Nik Aziz, beliau sering menyebut ‘Islam dahulu baru Melayu’. Islam juga bukan eksklusif Arab atau Melayu. Sesiapa yang lebih tinggi takwanya boleh diangkat sebagai pemimpin.
Malah pada era 1990an, Nik Aziz sering mengeluarkan pendapat Perdana Menteri Malaysia boleh dilantik dari kalangan kaum Cina asalkan mereka Islam. Bagi Tok Guru, apabila mereka Islam dan mengutamakan keadilan Islam maka kaum Melayu tidak akan dipinggirkan.
Pendapat seperti itu menyemarakkan sokongan masyarakat Cina dan India kepada Pas pada era 2000. Sokongan itu mengubah persepsi awal Dr Mahathir dalam merombak sempadan pilihan raya melalui persempadanan semula pada 2003; yang memecahkan undi Cina dan India, memasukkan mereka ke kawasan Melayu bagi mencairkan kekuatan arus reformasi Melayu pada pilihan raya umum (PRU) 1999.
Pada PRU tersebut, 60 peratus Melayu mengundi Barisan Alternatif. Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya Malaysia kaum Melayu meletakkan kepercayaan terhadap pembangkang lebih tinggi berbanding Umno BN.
Persempadanan semula menyebabkan BN menang besar, mendapat kira-kira 90 peratus kerusi parlimen pada PRU 2004. Namun kekuatan ideologi perjuangan Anwar yang mengiktiraf semua kaum secara saksama dan kekuatan imej Tok Guru Nik Aziz menghasilkan gelombang penerimaan luar biasa masyarakat bukan Melayu terhadap pembangkang selepas itu.
Hasilnya pada PRU 2008, lebih 70 peratus Cina dan India mengundi Pakatan Rakyat dan gabungan pembangkang berjaya merampas Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur.
Inilah hasil perjuangan berlandaskan ‘politik nilai’ Pas, DAP dan PKR. Perikatan politik ini dianggap penentu masa depan politik tanah air.
Namun semuanya berakhir apabila segelintir golongan ustaz muda dalam Pas memainkan isu keagamaan melampau dan menengelamkan perhitungan ‘real politik’ sejak 2012. Mereka mengepung presiden Hadi dan memberitahu bahawa perjuangan agama akan diterima semua kaum. Pas akan lebih diyakini bersendirian berbanding berkompromi dengan DAP.
Pas mengasingkan diri
Akibatnya, Pas memutuskan hubungan dengan hampir kesemua parti pembangkang bukan Melayu pada Jun 2015. Mereka masuk ke era keterasingan yang lebih mirip gerakan dakwah daripada bertujuan politik dan mendepani permasalahan pelbagai kaum.
Arus pemikiran ini membawa Pas ke arah kekeliruan ideologi. Sehingga Naib Presidennya Nik Amar bersungguh-sungguh mahu melaksanakan Hudud di Kelantan dan sanggup bekerjasama dengan Umno untuk itu. Namun apabila Umno tidak membawa Hudud ke parlimen, Nik Amar tidak sanggup pula mengecam keras Umno sebagaimana Nik Aziz menyerang parti sekular itu.
Kecelaruan itu juga hinggap ke atas Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau menentang Umno tetapi tiba ke satu tahap beliau juga tidak berupaya bersikap keras kepada parti yang kerap memungkiri janji itu; sebagaimana sikap Mohammad Sabu terhadap Umno. Tidak ada seruan turun ke jalan raya membantah polisi Umno BN.
Tuan Ibrahim juga berteori nakal PKR akan berpecah sebagaimana Pas selepas penubuhan Pakatan Harapan. Ternyata teori beliau meleset sama sekali. Sebaliknya Pakatan Harapan semakin mantap dan mula menarik minat pemimpin Pas dan Umno untuk menyertainya. Terbaharu Datuk Saifuddin Abdullah menyertai PKR dan menjadi aset penting parti itu.
Mungkin kerana terasing daripada arus perdana politik, maka Presiden Hadi membuka pintu kerjasama kepada Perkasa yang berjuang atas landasan rasisme Melayu.
Banyak pihak terkejut melihat langkah mengundur ke belakang presiden Pas ini. Tidak kurang pemimpin kecil dan ahli Pas yang ekstrem walak kepada presiden. Menerima Ibrahim Ali bukanlah isu besar kerana Tok Guru Nik Aziz pernah menerima beliau sebagai calon atas tiket Pas di Kelantan. Namun menerima perjuangan rasisme merupakan perkara aneh bagi parti Islam.
Pas yang mahu bertanding di kawasan bukan Islam melawan DAP tidak akan mendapat satu undi pun dari Cina atau India sekiranya menyokong kumpulan yang mahu menentang kaum bukan Melayu dalam segala perkara.
Tindakan Hadi dan kepimpinan Pas pasca Muktamar ke 61 dilihat keliru, mengelabah dan tidak lagi melaksanakan politik bijaksana. Salah langkah ini akhirnya menguatkan hujah kumpulan profesional Pas yang meninggalkan parti itu. Mereka benar, Pas kini hampir mengulangi sejarah di bawah era kepimpinan Asri Muda.
Iaitu, sebuah parti yang tidak berjuang berteraskan ‘real politik’, sebaliknya memaksa ideologi parti untuk mendapatkan sokongan. Resepi itu ternyata ditolak rakyat dalam PRN 1978 dan PRU 1982.