Pakatan Harapan mendesak seluruh rakyat Malaysia agar bersatu demi menyelamatkan negara daripada ancaman perkauman, fahaman agama yang sempit, ekstremis dan kediktaktoran.
Kenyataan bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayob dan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong menggesa ahli Parlimen dari Umno dan BN melakukan perubahan secara demokratik semasa sesi Parlimen bermula Isnin 19 Oktober ini.
“Kami menggesa kesemua pemimpin veteran Umno dan BN ini agar selangkah ke hadapan merealisasikan perubahan yang dapat memberi kesan terhadap sidang Parlimen yang bakal berlangsung nanti.
“Malaysia sedang berhadapan saat paling getir apabila beberapa isu kritikal menghambat negara dalam satu masa melibatkan aspek politik, ekonomi, sosial dan hubungan antara kaum,” kata mereka dalam kenyataan media bersama.
Kenyataan itu mengulas mengenai perjumpaan pemimpin Malaysia yang berkumpul di Bosphorus, Istanbul, Turkey, semalam yang mendesak rakyat Malaysia agar bersatu demi menyelamatkan negara daripada terjerumus ke kancah huru-hara serta bangkit dari krisis melalui transisi demokratik.
Kenyataan itu turut mengalu-alukan pertemuan bersejarah yang telah mempertemukan bekas-bekas pemimpin veteran UMNO/Barisan Nasional termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafie Apdal, Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Tee Keat munggu lalu.
Bosphorus adalah selat yang menghubungkan antara benua Eropah dan Asia. Para pimpinan politik yang berhimpun di situ dengan semangat harapan baharu untuk Malaysia dan negara akan bangkit menjadi obor harapan baru di pentas dunia.