Sekumpulan peniaga Ampang Park berkumpul di hadapan bangunan itu bagi membantah perobohannya bagi memberi laluan kepada pembinaan stesen bawah tanah projek Transit Aliran Massa (MRT).
Mereka melaungkan pelbagai slogan antaranya menyatakan keengganan mereka keluar daripada kompleks membeli belah itu selain menuntut laluan MRT aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dialihkan.
Ahli Jawatankuasa Bertindak Ampang Park Dr Dzulkhaini Hussain berkata bangunan yang beroperasi sejak 1973 itu tidak harus dirobohkan memandangkan ia tinggalan sejarah.
“Mereka suruh keluar selama tujuh tahun, di mana mahu berniaga, itu hanya akan lumpuhkan perniagaan kami.
“Ini bangunan bersejarah, kita harap agar mereka dapat beri kita terus berniaga sebab bangunan ini kukuh, tidak ada masalah kalau buat MRT bawah tanah dan ia di tepi Ampang Park,” katanya.
Dr Dzulkhaini, pemilik klinik gigi di situ, turut mempertikaikan mengapa LRT Ampang Park tidak ditutup sepanjang pembinaan MRT sebaliknya pusat membeli belah diberhentikan operasinya.
Katanya lagi, bangunan yang tersergam sejak 42 tahun lalu kukuh dan tidak akan runtuh memandangkan sebelum ini terdapat pembinaan LRT laluan bawah tanah.
“Ampang Park kukuh, tidak akan runtuh semasa pembinaan MRT seperti yang membimbangkan kontraktor.
“Semasa pembinaan LRT sebelum ini, apa sebab Ampang Park akan runtuh, adakah sebab tanah di sini akan bertukar lembut?” soalnya.
Menurut Dzulkhaini lagi, pihak pengurusan Ampang Park dan juga MRT seharusnya tampil memberikan penjelasan lanjutan mengenai perkara itu.
Katanya, pihak pengurusan seharusnya mempertimbangkan keputusan peniaga-peniaga untuk terus kekal berniaga di situ selain “tidak mengganggu periuk nasi” mereka.