Bekas ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang baru sahaja menyertai PKR dilantik menjadi ketua setiausaha sekretariat Pakatan Harapan.
Menurut Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu akan dipertanggungjawabkan sebagai ketua seketariat secara serta-merta berkuat kuasa hari ini.
“Pakatan Harapan juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menggubal satu Perjanjian Pakatan (Coalition Agreement) dan Dasar Bersama (Common Policies) yang akan dianggotai 3 orang wakil setiap parti,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.
Saifuddin yang juga bekas ahli Parlimen Temerloh mengumumkan menyertai PKR di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya minggu lalu.
Tindakan itu dilakukannya kerana tidak berpuas hati dengan cara Barisan Nasional (BN) menguruskan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM 2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Tindakan itu menimbulkan kritikan hebat daripada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengatakan parti Melayu itu tidak akan terjejas dengan tindakan Saifuddin kerana beliau tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, PKR dialu-alukan mengambil bekas timbalan menteri Umno itu kerana beliau berpendapat Saifuddin tentunya seseorang yang “bermasalah”.
Saifuddin berkata beliau memilih PKR kerana ianya selari dengan aspirasi dan matlamat politiknya.