Perbahasan hari keempat parlimen ‘digamatkan’ sindiran Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin. Beliau berkata, skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibina kerajaan gagal dan tidak mampu dimiliki oleh rakyat biasa negara ini kerana harga yang terlampau tinggi.
“PR1MA dengan harga yang tinggi, rakyat tak akan mampu miliki perumahan ini, dikatakan kerajaan telah berpuluh ribu bina namun hanya berapa unit yang diduduki rakyat kita.
“Dalam keadaan sekarang, tol naik, minyak naik, barang naik dan GST, adakah rakyat mampu? Kerajaan kena fikirkan kaedah yang baru untuk mereka dapat beli rumah.
“Kalau harga rumah begitu tinggi, saya rasa rakyat hanya mampu miliki tiang rumah sahaja,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Zuraida mahu kerajaan pusat mencontohi kaedah Negeri Selangor yang meletakkan harga berpatutan ke atas skim rumah mampu milik bagi rakyatnya.
Tambah beliau, Selangor meletakkan harga antara RM40,000 hingga RM 450,000 sebuah, dan rakyat boleh memiliki rumah dengan pendapatan minimum RM2,500 sebulan.