Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama wakil pengundi muda luar Kelantan hari ini telah memfailkan aduan rasmi berkaitan dakwaan rasuah bernilai lebih RM5 juta terhadap seorang Adun yang bersangkutan dengan kegiatan pembalakan di negeri Kelantan.
Wakil pegundi muda luar, Mohd Afiq Ayob dalam satu kenyatataan berkata, beliau yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan siasatan dengan bantuan 50 helaian dokumen yang menjadi bukti untuk menyelesaikan hampir separuh daripada kes ini.
“Dokumen yang saya serahkan terkandung atau menyatakan dengan jelas wujudnya transaksi melibatkan pembayaran wang kepada seorang Adun Kerajaan Negeri, ‘sumbangan’ kenderaan Toyota Fortuner termasuk salinan perjanjian jual belinya, dan pembayaran perbelanjaan ke luar negara seorang exco negeri Kelantan.
“Dokumen tersebut turut mendedahkan mengenai ‘sumbangan’ RM 32,000 berbentuk lembu korban ke kawasan seorang Adun kerajaan negeri; ‘sumbangan’ ‘tiles’ untuk lantai bagi ubah suai bernilai RM34,544.80 termasuk invoice penghantaran yang mana bilnya dibayar oleh sebuah syarikat yang terlibat pembalakan dan mendedahkan pembayaran melalui peguam bernilai RM1 juta. Dokumen berbentuk resit dan salinan cek disertakan.
“Selain itu, dokumen tersebut turut mendedahkan mengenai satu dokumen pembayaran tunai atas nama anak syarikat kerajaan negeri kepada seorang yang berpangkat Datuk yang menggunakan alamat Istana Negara bernilai RM150,000 yang tercatat baki bernilai RM4,850,000 (RM4.85 juta). Salinan cek pembayaran kepada seorang yang berpangkat Datuk bernilai RM1juta.
“Bukti tersebut turut menunjukkan semua transaksi tersebut dibuat oleh seorang Datuk berbangsa Cina bertindak bagi sebuah syarikat berkaitan perkayuan (balak) yang beralamat di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut beliau lagi, dokumen bukti yang diserahkan kepada SPRM jelas menyebut beberapa kali nama seorang Adun Kerajaan Negeri Kelantan.
Lebih pelik lagi, katanya, kegiatan Adun Kerajaan negeri Kelantan yang dimaksudkan turut melibatkan seorang Datuk yang menggunakan alamat Istana Negara, dan dari carian laman sosialnya ia dikenali cukup rapat dengan pimpinan kerajaan pusat.
“Selaku anak muda Kelantan, saya cukup gusar dengan perkembangan mutakahir ini,” kata Afiq.
“Selama ini saya dan kawan – kawan begitu bangga dengan pemerintahan bersih kerajaan Kelantan di bawah almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tindakan saya ialah untuk membersihkan Kerajaan Kelantan dari anasir rasuah yang mengotori dan terus mempertahankan Kelantan di bawah pemerintahan bukan Barisan Nasional.
“Kami akan memberi masa selama 30 hari kepada SPRM untuk menyesaikannya.
“Jika tidak saya dan teman – teman tidak punya banyak pilihan selain dari mendedahkan semua dokumen dan bukti terbabit kepada rakyat. Kami bersedia mencetak semua bukti tersebut untuk edaran kepada rakyat khususnya seluruh negeri Kelantan. Pelaku yang mengotori Kerajaan Kelantan harus disingkirkan segera.
“Kami juga bersedia untuk bertemu Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakob bagi menjelaskan dan menyerahkan semua dokumen bukti terbabit dengan syarat, Adun terbabit perlu digantung khidmat tugas serta merta sepanjang penyiasatan ini dan selepas terbukti bersalah Kerajaan Negeri sendiri harus bertindak ke atas Adun ini selain dari tindakan undang– undang oleh SPRM,” tegas Afiq
.