Sebaik sahaja Parti Amanah Negara (Amanah) dilancarkan secara rasmi dua bulan lalu, parti Islam baharu itu berjaya menarik perhatian serta minat masyarakat untuk menyertainya.
Ketua Amanah Kawasan Pasir Salak Khairol Fikri Amin berkata Amanah Kawasan Pasir Salak kini berada di tahap yang cukup bersedia untuk menjadi satu wadah baru menggalas harapan ummah setelah menerima kemasukan beberapa tokoh yang dikenali serta dihormati oleh masyarakat setempat.
“Kita menerima kemasukan ustaz Drs Ishak Shaari, bekas calon PAS Dun Kampung Gajah dan pernah memegang banyak jawatan di semua peringkat di dalam parti.
“Amanah juga menerima kemasukan Dr Anwar Abdillah, seorang tokoh akademik berkelulusan PhD bidang pendidikan dan kini bertugas di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Anak kelahiran Labu Kubung ini komited untuk membantu menggerakkan Amanah diperingkat Kawasan Pasir Salak.
“Seorang lagi, ustaz Syamsul Alauddin yang pernah menjawat Setiausaha PAS Kawasan Pasir Salak juga telah menyertai Amanah baru-baru ini. Beliau pernah memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Salak dan dilantik sebagai Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
“Ustaz Syamsul sering mengetuai penganjuran program-program kemasyarakatan terutama di peringkat kawasan Pasir Salak dan dikenai rapat oleh masyarakat setempat.
“Parti Amanah Kawasan Pasir Salak sangat mengalu-alukan kemasukan secara aktif di peringkat kawasan ini dan diyakini tokoh-tokoh ini akan memberikan satu impak positif kepada wadah baharu ini,” katanya.