Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa kerajaan menyiarkan secara langsung jawapan menteri-menteri berkaitan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) serta wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akuan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Jelasnya, mengikut kajian beliau, sebanyak 41 soalan telah ditanya oleh ahli-ahli Parlimen, namun kedua-dua isu tersebut tidak pernah dimasukkan dalam 15 soalan yang pertama pada setiap hari persidangan walaupun ia dibangkitkan sejak hari pertama persidanagan di Dewan Rakyat.
Malah menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman kepada pihak pembangkang, pertanyaan ini akan dijawab secara serentak bersama pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian dalam sesi persidangan kali ini.
“Saya ingin menyeru menteri menyiarkan sesi tersebut secara” live” melalui TV di saluran televisyen kebangsaan untuk sekali gus menyelesaikan kemusykilan rakyat terhadap isu ini.
“Dan ingin kita ingatkan Perdana Menteri bahawa semua ahli Parlimen dan rakyat Malaysia masih menunggu Najib untuk menjawab siapa penderma tersebut, sebab-sebab derma dan kemana pergi duit itu sekarang,” jelasnya.