Keluarga dan penyokong bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa bahawa pembedahannya perlu dijalankan di luar negara.
Mereka berkata mereka tidak mempercayai penjagaan kesihatan disediakan kepada Anwar, khususnya kerana Anwar akan diberi ubat pelali kerana dibius jika pembedahan ini dijalankan.
“Kami tidak percaya sistem itu kerana sistem itu boleh menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat rawatan asas seperti fisioterapi,” kata peguam Anwar, R Sivarasa dalam sidangnya di Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya lagi, mereka tidak mempercayai sistem tersebut untuk mengadakan pembedahan di mana Anwar dalam keadaan lali akibat dibius dan sebagainya.
“Maka itu sebabnya kami kata ia memerlukan pembedahan besar perlu dilakukan, kemudian kami menuntut ia dijalankan di luar negara,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Sivarasa yang juga MP Subang menegaskan keperluan mendesak ketika ini ialah Anwar perlu mendapatkan fisioterapi intensif dan tetap
Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata fisoterapi tersebut boleh membantu memberikan hasil keputusan yang lebih baik untuk pembedahan.
Anwar yang dipenjara sejak Februari lalu kerana tuduhan meliwat, sedang menerima rawatan sakit kronik di bahu kanannya.
Keluarganya telah lama mendesak supaya Anwar dibenarkan menjalani fisioterapi tiga kali seminggu sebelum pembedahan, dan untuk Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa beliau akan dibenarkan menjalani fisioterapi selepas pembedahan selepas itu.
Mereka juga mendesak rawatan perubatan di luar negara untuk sakit belakang Anwar sepanjang tempoh penjaranya sebelumnya dari 1999 hingga 2004, tetapi tidak berjaya.