Kontroversi cadangan untuk mengharamkan rokok elektronik mengundang kritikan pemimpin PKR. Ahli parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye berkata, rokok elektronik yang diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 2008 dihisap oleh 300 ribu penggemar.
Begitu juga industri pembekalan cecair nikotin rokok berkenaan yang telah menjadi suatu industri yang lumayan.
Bagaimanapun, menurut Dr Lee satu kaedah pengawalan ke atas penjualan rokok elektronik dan nikotin perlu dibuat bagi menjamin keselamatan pengguna.
“Kebanyakan rokok elektronik mengandungi nikotin yang kebetulan adalah bahan kimia yang terkandung dalam rokok biasa yang boleh menyebabkan penyakit jantung koronari serta kesan terhadap janin sekiranya digunakan oleh ibu yang sedang mengandung.
“Nikotin juga bahan kimia yang menyebabkan ketagihan. Sekiranya ditelan dengan kuantiti yang besar, nikotin juga mungkin membawa maut khususnya kepada kanak-kanak.
“Pengguna rokok elektronik menggunakannya sebagai bahan gantian untuk rokok biasa atau pun satu aktiviti rekreasi. Tanpa kawal selia, kemungkinaan VAPE dan rokok eletronik ini menjadi perantara kepada tabiat merokok ataupun salah guna dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga pakar jantung berkata, kajian menyeluruh yang telah dibuat oleh pakar-pakar mendapati kesan rokok biasa adalah jauh lebih bahaya daripada rokok elektronik biar pun mengandungi kuantiti nikotin yang sama.
Oleh itu, katanya, satu bentuk undang-undang baharu berkenaan rokok elektronik perlu digubal dan dilaksanakan. Dr lee juga menegaskan; pertama bahawa rokok biasa adalah jauh lebih bahaya dari segi kesihatan. Lantaran itu, kawalan terhadap rokok elektronik tidak seharusnya lebih ketat daripada rokok biasa.
Kedua, kanak-kanak dan golongan remaja kurang daripada 18 tahun dilarang sama sekali untuk menggunakan rokok elektronik kerana ketagihan di peringkat remaja akan menjadi perantara merokok .
Ketiga, label yang jelas di bekas/botol cecair VAPE harus mengandungi kandungan kimia serta amaran di mana kanak-kanak dan ibu yang mengandung dilarang menggunanya.
Keempat, Bekas/Botol yang mengandungi cecair VAPE haruslah jenis ‘Child-Proof’ yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak untuk mengelakkan kanak-kanak tertelan cecair VAPE dan sekatan terhadap pengiklan rokok elektronik harus mencontohi sekatan iklan untuk industri rokok biasa.
“Undang-undang yang sedia ada untuk kawalan rokok dan bahan tembakau adalah dibawah ‘Food Act 1983’ Fasa 36. Fasa tersebut tidak menyentuh isu nikotin. Rang undang-undang ini memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan peraturan untuk pengedaran dan penjualan rokok biasa.
“Bahan Nikotin pula dikawal di bawah Akta Racun 1952 (Poison Act 1952) di mana pengedaran dan penjualan kepada pengguna hanya boleh dilakukan oleh pemegang lesen yang merupakan pengamal farmasi ataupun pengamal perubatan (doktor).
“Kedua undang-undang yang sedia ada tidak mencukupi untuk mengawalselia rokok elektronik serta industri rokok/tembakau,” katanya lagi.
Dr Lee mempertikaikan Jawatan kuasa Khas VAPE yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan menetapkan bahawa penjualan cecair nikotin VAPE hanya boleh dilakukan oleh pengamal farmasi ataupun pengamal perubatan selari dengan penetapan Akta Racun 1952.
“Akan tetapi, setiap bungkus dengan 20 batang rokok mengandungi sebanyak 20mg nikotin, sama seperti kandungan satu botol VAPE yang biasa.
“Kenapa Jawatankuasa tersebut tidak menetapkan syarat yang sama untuk rokok, di mana hanya farmasi dan pengamal perubatan yang boleh jual rokok ?
“Adakah tindakan yang tergesa-gesa oleh menteri adalah kerana lobi dari industri rokok dan tembakau, sejurus selepas kenaikan cukai eksais rokok baru-baru ini?” soalnya.
Oleh yang demikian beliau mencadangkan agar Kementerian Kesihatan meminda undang-undang ‘Food Act 1983’ dan ‘Poison Act 1952’ supaya rokok, bahan tembakau, rokok eletronik dikawal selia dengan satu rang undang-undang yang kemaskini; menarik balik serta merta cadangan Jawatan kuasa Khas VAPE yang tidak masuk akal dan menggunakan kuasa menteri untuk menetapkan syarat pengedaran dan penjualan nikotin dan produk nikotin.
“Sekiranya menteri tidak berbuat demikian, segala pengedaran dan penjualan rokok (yang mengandungi nikotin) oleh mereka yang bukan pengamal farmasi dan pengamal perubatan adalah salah mengikut “Poison Act 1952’ kerana pengedaran dan penjualan nikotin.
“Sebagai seorang pakar kardiologi, saya tetap menasihat orang awam supaya tidak guna rokok elektronik ataupun merokok.
“Bagaimanapun, untuk kawal selia rokok elektronik, penguat kuasaan undang-undang yang munasabah disamping pendidikan pengguna yang mencukupi adalah langkah yang paling sesuai,” akhiri beliau.