Dewan Ulama PAS dicabar supaya mengemukakan bukti sama ada berupa ayat al-Quran, hadis, ijmak dan qias untuk membuktikan Datuk Husam Musa bersalah.
Dalam sesi dialog pada 13 November lalu di Kota Bharu dihadiri kira-kira 5,000 penonton, Husam yang juga bekas Naib Presiden PAS berkata, tiada sesiapa di dalam parti penuh kontroversi itu memiliki hak untuk mengarahkan beliau meninggalkan PAS.
“Demo sapo, kawe sapo? Ijtihad saya masih pilih duduk dalam ‘kapal’ sebab kapal belum karam. Ketua Dewan Ulama PAS sama taraf dengan saya, PAS bukan milik Dewan Ulama, bukan juga milik saya,” tegasnya.
Menurut Husam, tindakan mengarahkan beliau keluar dari PAS seolah-olah seperti orang samseng ketika beliau sendiri sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian yang didakwanya sebagai kawasan PAS yang paling kuat di negara ini.
“Ini serupa macam orang lain, macam orang samseng juga. Awak siapa? Kalau dia jawab, ana ketua Dewan Ulama, ana pula ketua PAS Kawasan Kubang Kerian.
“Saya yang patut halau orang. Sudah tiga Dun satu Parlimen bertanding, Alhamdulillah menang. Ketika bertanding di Parlimen, selain Tun Dr Mahathir, saya (calon) Melayu yang mendapat majoriti paling banyak, patut saya halau dia,” bidas Husam merujuk kepada Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed.
Sebelum ini, Mahfodz mencadangkan Husam meninggalkan PAS sekaligus menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) selepas lantang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang termasuk membongkar tindakan Hadi cuba untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.
Pendirian Husam untuk kekal dalam PAS ini sekaligus menjawab teka-teki banyak pihak sebelum ini berhubung kedudukan sebenar bekas Exco kerajaan negeri Kelantan itu dalam PAS.