Sambutan hangat kepada majlis makan malam sempena pelancaran pejabat Parti Amanah Negara (Amanah) Johor malam tadi di mana 80 peratus daripada yang hadir adalah Melayu. Jumlah kehadiran itu memberikan semangat untuk Pakatan Harapan mengambil alih Johor dalam pilihan raya umum nanti.
Naib ketua Amanah Johor, Mazlan Aliman berkata, sambutan yang memberangsangkan itu menggambarkan sokongan rakyat negeri itu terhadap Amanah yang diharapkan dapat mengubah situasi politik tanah air.
“Bagaimana kuat pun BN di Johor, saya yakin ia boleh tumbang dengan kebangkitan rakyat Johor,” katanya kepada sebuah portal berita.
Kalau selama ini banyak tuduhan yang mengatakan hanya Cina yang menyokong PH, majlis malam tadi membuktikan sebaliknya.
“Kalau ada yang nak buat tuduhan hanya orang Cina sahaja memberi sokongan kepada Amanah, memang tak boleh kerana majoriti orang Melayu hadir walaupun kita kenakan bayaran meja,” katanya ketika dihubungi.
Pejabat Amanah Johor yang dirasmikan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu terletak di Pusat Perdagangan Danga Utama, Skudai.
Mazlan juga berkata, kehadiran pemimpin utama Amanah, DAP dan PKR membuktikan Pakatan Harapan (PH) mempunyai hubungan yang baik dan memberi komitmen untuk melakukan perubahan khususnya di negeri Johor.
“Di negeri Johor tak ada isu besar dalam Pakatan Harapan sebaliknya kami memberi fokus untuk mengeluarkan rakyat daripada terus terbelenggu dengan masalah ekonomi, kos sara hidup dan hala-hal lain,” kata bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu.
Selain pemimpin utama Amanah, majlis malam tadi turut dihadiri penasihat DAp, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP negeri Johor Liew Chin Tong dan Pengerusi PKR negeri Johor Hasan Karim.
Beliau turut menegaskan, Pakatan Harapan yakin rakyat Johor bersedia melakukan perubahan di negeri itu walaupun umum mengetahui negeri itu adalah kubu kuat Umno BN.