Luahan pembaca
Saban hari kita diberitahu banyak pemilik kad kredit di negara ini dibebani hutang dan ramai juga yang telah diisytiharkan muflis. Kerajaan menyalahkan pemilik kad kredit kerana rajin berhutang, tidak sedar diri atau boros berbelanja.
Pihak berkuasa sama sekali tidak melihat kepada faktor pelbagai syarikat insurans dan perniagaan on line yang menipu, memperdaya dan memanipulasi pemilik kad kredit ini menyebabkan mereka berhutang ribuan ringgit dan tidak mampu membayar kembali hutang tersebut.
Saya salah seorang daripada mangsa yang diperdaya oleh para penyangak yang bertopengkan syarikat perniagaan sah menjual pelbagai perkhidmatan secara on line menerusi maklumat yang dibekalkan dari database syarikat yang menggendalikan kad kredit.
Saya tidak meminta untuk melanggan perkhidmatan kad kredit, sebaliknya ditawarkan oleh pihak Maybank bagi menggunakan perkhidmatan bayaran tertunggak mereka. Pada mulanya saya agak keberatan tetapi memikirkan kemudahan untuk membayar bil kad itu secara on line menggunakan maybank2u.com dengan akaun kad kredit yang disekalikan, maka saya bersetuju untuk melanggan kad berkenaan.
Diperdaya syarikat insurans
Selang sebulan setelah mendapat kad kredit, seorang agen syarikat insurans menelefon memperkenalkan diri seolah-olah mendapat restu Maybank untuk mengiklan produk insurans mereka. Saya enggan melayan kerana telah mempunyai polisi insurans hayat.
Namun syarikat terbabit membuat beberapa panggilan lagi dan menawarkan pampasan insurans kemalangan peribadi yang lumayan dengan bayaran premium bulanan serendah RM40. Oleh kerana dihubungi waktu bekerja maka saya berasa amat kurang selesa untuk menjawab telefon. Untuk membuat rujukan pula agak sukar kerana agen yang membuat panggilan terlalu pantas bercakap dan tidak memberi peluang pelanggan untuk bertanya. Akhirnya kerana tidak mahu diganggu saya menerima polisi itu dan memberi segala butiran kad kredit dan butir peribadi.
Sebulan kemudian agen yang sama secara terburu-buru bertanya adakah saya ingin menambah lebih banyak perlindungan termasuk keracunan makanan dengan penambahan sekitar RM5. Saya menyetujui kerana tidak mahu diganggu. Pada fikitran saya jika dua kali diberi peluang untuk berniaga maka tentunya agen itu tidak lagi mengganggu. Malangnya, sebulan kemudian saya dihubungi sekali lagi untuk menambah perlindungan, kali melibatkan sakit-sakit biasa termasuklah demam selsema. Cara panggilannya pula agak berlainan kerana terlalu laju dan meminta nombor pengesahan kad kredit tergesa-gesa tanpa menyebut dengan jelas jenis penambahan perkhidmatan. Setelah butir diberi maka barulah jelas penambahan perkhidmatan itu sebanyak RM35. Jumlah kesemua polisi insurans menjadi RM70.
Saya rasa tertipu dan menulis surat untuk membatalkan perlindungan tambahan. Namun, tiada pembatalan boleh dibuat kerana percakapan telah direkodkan maka saya perlu membayar jumlah yang dipersetujui. Kemudian polisi insurans itu diposkan ke rumah saya. Setelah membaca secara menyeluruh barulah saya sedar telah dipermainkan. Insurans perlindungan kemalangan peribadi yang saya bayar sekitar RM70 itu sebenarnya boleh didapati dengan harga RM35 – RM45 di beberapa buah syarikat lain.
Perlindungan kecurian
Setelah itu saya dihubungi pula oleh sebuah syarikat yang menawarkan khidmat pemansuhan semua jenis kad jika mengalami kecurian atau hilang dengan hanya mendail ke ibu pejabat kad keselamatan berkenaan, tidak kira di mana-mana sahaja di dunia. Untuk itu saya dikenakan bayaran RM90 setahun. Setelah beberapa lama, saya terfikir perkhidmatan itu tidak sesuai dan membazir kerana saya tidak keluar negara, segala kehilangan boleh dilaporkan sendiri tanpa banyak masalah.
Saya juga menerima tidak kurang 5 panggilan setiap bulan yang meminta untuk melanggani perkhidmatan insurans, perkhidmatan perlancongan keluarga, pakej penginapan hotel dan sebagainya yang amat mengganggu di waktu bertugas.
Gores dan menang secara on line
Terbaharu, setelah tidak melayan beberapa panggilan syarikat on line selama beberapa bulan, saya akhirnya berjaya diperangkap untuk membeli perkhidmatan kad diskaun percutian. Kali ini taktik jurujual amat canggih, hampir sama dengan skim gores dan menang. Dalam skim gores dan menang kita didambakan dengan hadiah lumayan setelah menggores tetapi akhirnya dipaksa membeli barangan yang tidak perlu dengan harga yang mahal.
Saya diberitahu oleh jurujual tersebut, kerana saya membayar kad kredit tidak lewat pada setiap bulan maka saya mendapat hadiah penghargaan beberapa jenis baucer bernilai RM1,400. Kesemuanya boleh ditukarkan di hotel dan beberapa tempat perlancongan, termasuklah pakej umrah berdiskaun.
Tanpa memberitahu berapa harga yang perlu dibayar untuk skim itu, jurujual bertanya pengesahan sekuriti kad kredit seolah-olah ingin mengesahkan saya benar-benar pemegang kad berkenaan sebelum memberikan hadiah. Selepas semua butiran diberikan, secara tiba-tiba jurujual itu berkata harga yang perlu dibayar untuk menikmati kesemua baucer itu sebanyak RM599. Baucer yang ‘kononnya’ saya menangi kebanyakannya berupa perlancongan keluar negara, hanya dua baucer untuk diskaun hotel dalam negara.
Saya benar-benar tertipu dengan apa yang berlaku. Bayangkan, pakej perlancongan keluar negara tentu memerlukan belanja yang mahal, tidak berbaloi hanya untuk menukar baucer diskaun beberapa ratus ringgit terpaksa berbelanja ribuan ringgit. Berapa banyak syarikat perlancongan yang bersekutu dengan syarikat kad diskaun ini akan mendapat untung dengan pakej keluar negara tersebut?
Perkara yang saya amat kesali ialah pemberitahuan oleh jurujual itu bahawa nama saya tercatat sebagai pelanggan yang sering melunaskan bayaran kad kredit mengikut masa. Dari manakah mereka mendapat maklumat itu? Tentunya syarikat yang mengeluarkan kad kredit seperti Visa atau Master Card telah menjual maklumat pelanggan mereka. Atau pun institusi kewangan yang mencetak kad berkenaan. Maknanya, maklumat pelanggan tidaklah rahsia dan boleh diketahui oleh mana-mana syarikat yang ingin berniaga secara memperdayakan pelanggan.
Perkara inilah yang pihak berkuasa tidak sedari. Mungkin separuh dari penghutang kad kredit bukan golongan yang ingin berhutang tetapi telah diperdaya oleh syarikat yang menjual perkhidmatan secara on line ini.
Kepada insan di luar sana yang terpengaruh dengan mudahnya berbelanja menggunakan kad kredit saya nasihatkan janganlah terpedaya. Jangan sama sekali menggunakan kad kredit. Sekali anda berlanggan maka seribu satu penyangak dan penipu akan datang untuk cuba menambahkan hutang anda. Dalam hal ini debit kad lebih baik kerana tidak ada pembekal perkhidmatan yang akan menawarkan perkhidmatan yang mana mereka tidak akan mendapat bayaran jika pemilik kad tidak mendebitkan apa-apa dalam akaun atau pun tidak lagi menggunakan kad tersebut.
Kad kredit amat merbahaya kerana sekiranya pengguna tidak mampu membayar hutang dari para penipu tersebut maka mereka bakal diisytiharkan muflis. Ketika itu tiada siapa yang boleh menolong meskipun kerajaan yang meluluskan undang-undang. Sebabnya, kerajaan Malaysia amat pro-bisnes. Oleh itu apa sahaja bisnes dibenarkan dan tidak perlu dihalang walaupun dengan cara menipu atau memperdaya.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.