Beberapa hari lalu Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan mendakwa kononnya pentadbiran kerajaannya sentiasa telus dan mengutamakan kebajikan rakyat.
Ahli parlimen Ampang Zuraida Kamarudin mencabar Perdana Menteri untuk mengesan sejumlah RM594 juta yang lesap dalam pelbagai projek di Selangor sewaktu BN memerintah
“Saya menggesa agar Perdana Menteri membuktikan kata-katanya supaya segera mengesan semula RM594 juta dan 50 unit kondominium milikan Yayasan Selangor yang ‘hilang’ sewaktu pentadbiran Umno Selangor sepanjang 1991 hingga Mac 2008.
“Sebanyak 15 projek dan 10 syarikat telah dikenal pasti sebagai punca ketirisan mega ini berlaku. Antara nama-nama yang terlibat termasuklah Dato Seri Dr. Khir Toyo (mantan Menteri Besar Selangor), Tuan Haji Takril Tasuki (Pengurus Besar Yayasan Selangor), Puncak Dana Sdn Bhd, Secure Parking Sdn Bhd, SAP Ulu Yam Sdn Bhd, Persada Istimewa Sdn Bhd, Aviation Development Corporation Sdn Bhd, Fajar Melati Sdn Bhd, Melawangi Sdn Bhd, Swasta Setia Sdn Bhd, Abinas Enterprise dan Kreatif Rakyat Sdn Bhd,” tegas beliau.
Zuraida juga menyifatkan kehilangan yang gagal dikesan itu hanya menambah buruk imej Malaysia di mata dunia dan pelabur asing. Ia juga akan meningkatkan lagi indeks korupsi di Malaysia yang semakin buruk tahun demi tahun
“Kehilangan RM594 juta ini adalah suatu yang amat serius kerana ianya melibatkan dana awam dan wang pembayar cukai rakyat di negeri Selangor. Pihak yang bertanggungjawb harus segera dibawa ke muka pengadilan. Wang rakyat harus segera dikembalikan.
“Maka, andai benar Perdana Menteri mahu membantu rakyat seperti yang didakwanya – saya menggesa agar beliau bersedia menggunakan kuasanya, walau dengan apa cara sekalipun, supaya RM594 juta dan 50 unit kondominium milik Yayasan Selangor dapat dikembalikan semula, seterusnya dapat diagihkan untuk program pembangunan dan kebajikan rakyat, khususnya di Selangor,” akhiri Zuraida.