Beratus-ratus ikan mati terdampar di Sungai Toggek di kawasan Gebeng, Pahang pagi ini menyebabkan penduduk di kawasan itu berjaga-jaga terhadap kemungkinan pencemaran bauksit.
Ahli perniagaan Idahar Zulkupli, 40, berkata ini kali pertama dia melihat ikan mati terdampar dari sungai di kawasan itu dan bimbang ia mungkin kerana kesan perlombongan bauksit.
Idahar yang menetap di kawasan itu sejak kecil berkata, sangkaannya itu wajar kerana negeri itu kini sedang dilanda kesan daripada perlombongan bauksit yang tidak terkawal.
“Saya tidak boleh mengatakan dengan tepat bauksit penyebab apa yang berlaku hari ini tetapi saya bimbang ini adalah puncanya.
“Ia juga boleh terjadi kerana bahan kimia dikeluarkan dengan tidak sengaja dari kilang di kawasan perindustrian di sini,” kata Idahar.
Katanya, 2 hari sebelum insiden hari ini, air di pantai Balok menjadi keruh.
“Keadaannya agak buruk. Ia bukan air laut biasa. Ia berbau seperti kotoran, tanah. Kemudian ini terjadi. Saya fikir memang ini akibat bauksit,” katanya.
Ikan yang mati di sepanjang Sungai Toggek itu ditemui orang lalu lalang di situ kira-kira 8.30 pagi yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Perikanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah dari PAS, Andansuran Rabu berkata agensi itu datang pada kira-kira 10 pagi untuk mengambil ikan yang mati itu dan sampel air dari tempat kejadian dan akan menghantarnya ke Jabatan Kimia untuk diuji.
“Apa yang kami mahu ialah supaya keputusan itu didedahkan selepas semuanya siap. Kami tidak tahu jika ia dari bauksit, tetapi orang ramai takut,” katanya.
Tambahnya, sungai ini juga berhampiran dengan stor stok bauksit.
“Stor itu berada di atas sebuah bukit kira-kira 1.5 kilometer dari sungai tersebut. Apabila hujan turun, air akan mengalir ke dalam sungai,” katanya.
Perlombongan bauksit yang berleluasa dipersalahkan kerana mengakibatkan sungai dan pantai di Kuantan, bertukar merah selepas dua hari hujan turun dengan lebat awal minggu lalu.
Sejak Kuantan mengumumkan perlombongan bauksit untuk dieksport ke China tahun lepas, penduduk di kawasan itu membuat aduan mengenai pencemaran yang disebabkan debu merah dari perlombongan dan kebocoran dari lori mengangkut bauksit ke pelabuhan Kuantan.
Sepanjang 11 bulan pertama 2015, Malaysia dilaporkan mengeksport lebih 20 juta tan bauksit ke China, peningkatan 700% berbanding tahun sebelumnya.
Pada 2013, jumlah eksport hanya pada kadar 162,000 tan.