ULASAN Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan berkenaan seorang pelajar UIAM pengsan akibat tidak makan dua hari. Kita harus mengakui fakta ini.
Di antara keseluruhan 1.5 juta mahasiswa seluruh Malaysia, ramai yang amat terbeban akibat kenaikan kos sara hidup. Salah satu puncanya adalah kenaikan harga barang.
Lebih menyedihkan lagi, ada yang terpaksa memilih untuk tidak makan kerana kesempitan wang.
Ini bukan kes yang pertama, sebelum ini tersebar luas di media tentang nota kecil yang dibuat oleh seorang mahasiswa yang terpaksa “mengambil” duit tabung masjid kerana mahu makan.
Saya yakin dan percaya, ramai lagi golongan sebegini di luar sana. Saya juga yakin, ramai mahasiswa memilih untuk makan nasi bujang (nasi putih berlaukkan telur cicah sambal) kerana mahu memastikan perut mereka terus terisi. Apa yang sudah kita buat ?
Kebanyakan mahasiswa yang benar-benar memerlukan ini adalah datang daripada keluarga yang teramat sangat tidak berkemampuan.
Ayah hanya kerja kampung, emak suri rumah, adik beradik ada sepuluh, semuanya masih bersekolah. Keadaan ini sungguh kritikal.
Walaupun mereka dapat bantuan zakat, PTPTN mahupun biasiswa, sebahagian duit ini akan dihantar kepada keluarga di kampung. Tinggallah beberapa riggit untuk dibelanja itu ini sepanjang empat bulan.
Pada hemat saya, tidak adil jika mahasiswa yang senang lenang dan cukup makan menyalahkan beliau kononnya beliau mahukan populariti kerana isu beliau ini dipaparkan di muka hadapan Harian Metro. Saya yakin bahawa perkara ini di luar kekuasaan beliau.
Beberapa kumpulan di UIAM antaranya SRC, The Team, Perkim, Masjid SHAS sering memberikan makanan percuma. Saya yakin inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang tidak cukup duit untuk makan.
Namun, penyelesaian yang lebih konstruktif harus difikir dan dilaksana untuk menyelesaikan masalah pelajar yang tidak cukup makan kerana datang daripada keluarga yang susah. Ini masalah induk.
Pertama, pihak berwajib seperti pihak pentadbiran dan MPP haruslah mendapatkan data yang lengkap berkenaan berapakah jumlah sebenar mahasiswa yang tidak berkemampuan ini.
Kategorikan golongan ini mengikut kesesuaian terutamanya berdasarkan latar belakang keluarga. Bila data sudah sedia, kerja-kerja selepas ini akan menjadi mudah. Kerja untuk si budiman menyalurkan bantuan juga semakin cekap.
Di samping menyalurkan bantuan kewangan, golongan ini juga perlu didedahkan dengan peluang pekerjaan agar mereka tidak hanya bergantung kepada bantuan.
Ketiga, ada baiknya MPP mahupun Kelab Keusahawanan merintis jalan untuk melatih dan memberi modal permulaan kepada mereka untuk berniaga.
Saya juga berpendapat, tidak salah dan tidak juga membebankan jika pelajar turut bekerja semasa belajar. Rahsianya hanya satu, iaitu prinsip keseimbangan. Jangan kurangkan belajar lebihkan berniaga ataupun sebaliknya.
Akhir kalam, tahniah diucapkan kepada SRC IIUM, MRC, KBS, The Team, PERKIM, Masjid SHAS dan semua orang-orang budiman didalam UIA kerana anda datang dengan inisiatif untuk membantu rakan yang susah. Saya yakin, UIA ini ramai orang yang budiman.
AZZAN AZNAN pengerusi WUFI UIAM.