Aktivis mahasiswa Fahmi Zainol menyambut baik cadangan Demonstarsi NGO Petani Baling Bersama Mahasiswa (PBB) di Universiti Malaya 14 Februari 2016 depan.
Menurut jurucakap NGO PBB saudara Abdul Mutalib Seman di pekan Baling pada 10 Januari lalu, mereka bakal menganjurkan demostrasi di Universiti Malaya 14 Februari nanti untuk membela nasib mahasiswa yang kelaparan.
“Selaku mahasiswa Universiti Malaya, saya menyambut baik demonstrasi ini.
“Saya menyeru lebih ramai masyarakat dan Mahasiswa untuk turun bagi mendesak pihak bertanggungjawab menjalankan tugas mereka sebaiknya.
“Malah perhimpunan aman ini, bakal mengimbau kembali sejarah 40 tahun lepas sewaktu Mahasiswa Universiti Malaya membela nasib petani Baling,” kata Fahmi dalam satu kenyataan.
Demonstrasi Baling sentiasa diingati dalam sejarah gerakan pelajar, terutama di Universiti Malaya (UM). Pada 1974, ketua gerakan mahasiswa ketika itu, Anwar Ibrahim menganjurkan protes di Kuala Lumpur menyambut tunjuk perasaan petani Baling yang kelaparan akibat harga komoditi merudum.
Mahasiswa yang menunjuk perasaan digempur FRU hingga ke dalam Masjid Negara. Puluhan aktivis ditahan ISA termasuk Anwar Ibrahim.
Hishamudin Rais melarikan diri keluar negara. Sementara Dr Syed Husin Ali ditahan ISA selama 7 tahun dan mewakili pensyarah UM yang paling lama ditahan.