Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) khususnya di Kedah diarah terus memberi fokus kepada usaha membela rakyat susah berbanding terbabit dalam kemelut kepimpinan negeri itu.
Ketua Pemuda AMANAH, Sany Hamzan berkata rakyat perlu difahamkan, sesiapa pun yang menjadi ketua kerajaan – jika datang daripada Umno – kesusahan dialami rakyat tidak akan berubah.
“Kata kuncinya ialah fokus.
“Jentera Pemuda AMANAH khususnya di Kedah diarah untuk fokus kepada usaha membela rakyat susah di kampung-kampung.
“Perlu ditanam di minda rakyat, siapa pun menjadi menteri besar, jika berasal daripada Umno, tetap tidak akan mengubah kesusahan rakyat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini berdepan cabaran apabila sebahagian daripada pimpinan parti Umno di Kedah menyatakan secara terbuka mereka tidak lagi meyakininya sebagai menteri besar.
Muhkriz juga merupakan ketua perhubungan Umno Kedah.
Kelmarin sebahagian daripada pimpinan Umno Kedah – diketuai Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah – meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan untuk menggantikan Mukhriz.
Selain berkhidmat sebagai timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, Ahmah Bashah adalah timbalan ketua perhubungan Umno Kedah.
Di sebalik desakan itu, sesetengah pihak berpendapat ia ada kaitan dengan kelantangan bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengkritik Najib.
Mukhriz juga memperlihatkan kecenderungannya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa isu utama melanda negara, termasuk 1MDB.
Sany berkata, kemelut yang berlaku di Kedah adalah konflik di antara kem Najib dan Mahathir.
Ia, katanya, menjadi bukti jelas bahawa Umno semakin jauh daripada menyedari kesusahan rakyat.
“Ketika ribuan rakyat Kedah terhimpit mahu meneruskan hidup, Umno hanya berfikir dan bertindak menurut kepentingan politik masing-masing, bukan kepentingan rakyat terbanyak.
“Pernahkah Umno mengambil kira keadaan payah rakyat sebelum menggerakkan aksi politik yang langsung tidak menguntungkan rakyat ini?” katanya.