Usai perhimpunan Fastaqim Bantah TPPA anjuran Pas bersama NGO Perkasa, Isma dan lain-lain rakyat tertanya-tanya adakah parti Islam itu kini kembali ke era 1980an berjuang hanya untuk Melayu Islam sahaja?
Hal itu amat jelas dengan kehadiran kira-kira 7,000 peserta himpunan yang hanya terdiri daripada kaum Melayu. Hanya 1 peratus Cina atau India, selebihnya Melayu Pas, Melayu nasionalis dan Melayu ultra Islam.
Tiada kemajmukan sebagaimana himpunan Pas sebelum ini yang menyaksikan kehadiran kaum Cina dan India. Keikut sertaan pelbagai kaum membuahkan hasil lumayan kepada parti Islam itu dalam pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013.
Calon mereka diundi bukan sahaja oleh kaum Melayu tetapi juga Cina dan India yang mahukan pembaharuan menentang kezaliman rejim BN.
Hadi hiris perasaan Cina
Fastaqim di Kota Bharu tahun lalu boleh dimaafkan tidak melibatkan pelbagai kaum kerana lebih tertumpu kepada pendekatan Islamik. Namun membantah TPPA tidak wajar hanya disertai orang Melayu kerana pelbagai kaum menerima kesannya.
Ketidak hadiran kaum lain seolah-olah sengaja dirancang oleh Pas apabila Presiden Hadi Awang mengeluarkan kenyataan dalam mesej pra-perhimpunan kononnya DAP menyokong TPPA kerana orang Cina menguasai perdagangan di negara ini.
Ungkapan yang sangat tidak bertanggungjawab itu menghiris perasaan kaum Cina. Perkataan seperti itu tidak pernah dikeluarkan Pas pada era Nik Aziz atau Fadzil Noor. DAP bukan parti peniaga Cina. Majoriti ahli DAP adalah Cina kelas menengah yang terkesan dengan TPPA.
Sekiranya Hadi bijak berpolitik maka hijab fikirannya wajib terbuka. Tauke besar Cina tidak berada di dalam DAP tetapi MCA. Tauke ini sama sahaja dengan kroni Umno yang menyapu projek dan kontrak berbilion ringgit. Hadi wajib mengecam MCA bukannya DAP.
Kegagalan memahami real politik seperti itu menyebabkan bukan Islam menjauhkan diri daripada Pas yang semakin eksklusif sifatnya. Penyertaan Perkasa dan Isma yang memperjuangkan ultra Melayu juga menghalang kaum lain daripada turut serta untuk meraikan himpunan Pas.
Lebih mendukacitakan, Parti Sosialis Malaysia yang pada awalnya bersama-sama Pas merancang himpunan dan berarak bersama penyokong Pas ke Dataran Merdeka pada jam 2.00 petang akhirnya berpatah arah. Mereka melakukan duduk bantah di Jalan Tun Perak berhadapan Dataran.
Bagi penyokong pembangkang, Pas terlalu mengikut kehendak pihak berkuasa. Tidak jelas untuk apakah diadakan bantahan sekiranya akur kepada setiap syarat yang digariskan kerajaan BN.
Bantahan wajib berada di tengah-tengah masyarakat. Padang Merbok terlalu jauh daripada nadi masyarakat Kuala Lumpur. Tiada siapa yang akan mendegar butiran yang diperkatakan pemimpin Pas di tengah-tengah padang itu.
Sebaliknya, kesan lebih besar sekiranya ucapan diluahkan di tengah-tengah masyarakat. Oleh itu PSM mengambil keputusan berhenti di hadapan Dataran Merdeka dan berucap di situ.
Bagi rakyat biasa, slogan Pas Istiqamah Sehingga Kemenangan, menjadi pelik apabila melihat gelagat pemimpin parti itu yang kontradik melaksanakan perjuangan. Ketika rakyat dibebani cukai dan kehilangan pendapatan akibat polisi membazir BN, presiden Pas Hadi Awang dengan megah berkata berkawan dengan Umno adalah hak Pas.
Ijtihad Pas semakin meliru
Ketika hampirnya pilihan raya negeri Sarawak dan Pas perlukan sokongan masyarakat Kristian di sana Presiden Hadi mengeluarkan kenyataan yang tidak baik mengenai mubaligh Kristian yang ditentang hebat oleh tokoh Kristian Sarawak.
Pas kelihatan semakin menjadi jurucakap Umno. Apakah penghujung perjuangan parti Islam ini? Bolehkah Pas memerintah Malaysia hanya dengan orang Melayu Islam menyokongnya?
Pas sejak 1998 telah berijtihad parti itu wajib menyokong calon popular di sesuatu kawasan. Tidak kira sama ada Cina DAP atau India PKR, asalkan bertekad untuk menumbangkan BN. Kini, ijtihad itu berubah. Pas akan meletak sendiri calon bukan Islam yang dipilih oleh ulama Pas walaupun tidak popular.
Calon bukan Islam lain adalah kafir harbi dan haram diundi. Ini adalah dasar Pas pada 1980an. Dasar ini menyebabkan Pas kalah teruk dalam PRU 1982 dan 1986 walaupun ketika itu banyak isu masyarakat yang boleh dijuarai oleh pemimpin Pas.
Dengan dasar Pas yang keliru dan himpunan yang tidak disertai pelbagai kaum maka boleh diramal nasib parti itu dalam PRU 14 di Pantai Barat Semenanjung. Begitu juga dalam pilihan raya negeri Sarawak pada Mac nanti.