Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu menjelaskan pendedahannya semalam yang membebaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada pertuduhan salah guna kuasa dalam isu membabitkan dana RM42 juta daripada SRC International, kata DAP.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, pendedahan Apandi semalam menunjukkan terdapat dana RM27 juta diterima Najib melalui akaun peribadinya, selain RM42 juta yang diketahui umum dalam isu tersebut.
“Kita mengetahui sekurang-kurangnya RM69 juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib antara Julai 2014 dan Februari 2015,” kata Pua pada sidang medianya di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata berdasarkan perkara itu, terdapat prima facie untuk mendakwa Najib atas alasan rasuah dan pecah amanah.
Beliau berkata, peguam negara juga menyalahgunakan kuasanya untuk menerima alasan Najib bagi menggelakkan isu itu dibawa ke mahkamah.
Najib semalam menyambut baik keputusan peguam negara berhubung dirinya yang disahkan tidak bersalah, namun menegaskan isu membabitkan derma RM2.6 bilion adalah “cubaan mengalih perhatian untuk negara”.
“Hasil siasatan oleh institusi relevan, dan mengesahkan apa yang saya pertahankan selama ini: tiada kesalahan yang dilakukan,” kata Najib, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya malam tadi.
Pendedahan dana bernilai RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya dilakukan akhbar antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) pada Julai, dan dinafikan pihaknya, sebelum disahkan digunakan untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan menentang kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
Sejumlah RM42 juta juga diterima daripada firma kerajaan, SRC International Sdn Bhd, namun peguam negara berkata Najib tidak mengetahui sumber itu.
Apandi semalam mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menutup siasatan kes tersebut, dan mengatakan dana itu daripada kerabat Diraja Arab Saudi.