Program bahasa Inggeris terbaru Putrajaya, Program Dwi Bahasa (DLP), akan akhirnya dilaksanakan di setiap sekolah, kata pengkritik sambil mendakwa kerajaan mengulangi dasar mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang gagal sebelum ini.
Ini mendorong penentang DLP melancarkan kempen pada 15 Februari ini, bertujuan mendesak kerajaan memansuhkannya, kata Hasni Abas, jurucakap gabungan MansuhDLP.
“Kerajaan mendakwa ia merupakan pilihan tetapi sumber kami berkata, sekolah kebangsaan sedang dipaksa melaksanakannya.
“Tahun depan, program ini akan diperluaskan ke 10,000 sekolah seluruh negara.
“Jadi, ia bukan lagi pilihan tetapi wajib,” kata Hasni kepada The Malaysian Insider.
MansuhDLP diterajui Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), sebuah kumpulan yang ditubuhkan pada 2009 untuk menghentikan dasar mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang dikenali sebagai PPSMI.
Kajian yang dibuat pada 2009 mengenai kesan PPSMI, kata Hasni, menunjukkan hanya 3% daripada 3.5 juta murid di seluruh negara mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.
Kanak-kanak ini juga datang daripada keluarga yang bertutur dalam bahasa Inggeris.
Sekolah yang menggunakan DLP akan mengajar 4 mata pelajaran dalam bahasa Inggeris – Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Rekabentuk Kreatif – untuk murid Tahun 1 dan Tahun 4 tahun ini.
Ketika ini DLP sedang dilaksanakan di kira-kira 300 sekolah di seluruh negara, susulan pengumuman mengenainya dibuat perdana menteri ketika membentangkan Bajet 2016 tahun lalu.
Putrajaya berkata, penyertaan dalam program ini adalah secara sukarela, yang merupakan faktor penting kejayaannya, begitu juga sokongan daripada ibu bapa dan guru.
Hasni mendakwa, jumlah sekolah yang mengambil bahagian sebenarnya hanya 170.
Baki 130 lagi yang sudah mendaftar tetapi tidak melaksanakannya sedang menghadapi tekanan daripada pihak Kementerian Pendidikan.
“Ini bukan lagi program tetapi satu dasar. Ia bukan program dwibahasa tapi dasar dwibahasa. Ia PPSMI ikut jalan belakang.
“Kita akan mengulangi kegagalan PPSMI,” kata Hasni.
“DLP juga hanya dilaksanakan di sekolah kebangsaan. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dikecualikan. Mengapa kerajaan mengamalkan sikap diskriminasi terhadap sekolah kebangsaan?”
PPSMI dimulakan pada 2003 tetapi dimansuhkan 6 tahun kemudian berikutan bantahan daripada ibu bapa, guru, ahli politik dan penyokong pendidikan bahasa ibunda.
Selain kajian pada 2009, Hasni berkata pelajar Malaysia mencatat prestasi yang teruk dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dalam peperiksaan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012.
PISA mengukur prestasi murid di 65 negara yang mengambil bahagian.
Pemacu utama lain dalam gabungan MansuhDLP adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Bantahan pada 15 Februari di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, Kuala Lumpur akan termasuk “flash mob” serta ucapan daripada tokoh Sasterawan Negara, kata Exco Pendidikan Abim Mohd Firdaus Md Hashim.
“Perhimpunan 15 Februari ini adalah sebahagian daripada kempen keseluruhan kami untuk membina sebuah gelombang besar terhadap DLP yang akan berakhir dengan satu perhimpunan besar-besaran pada 26 Mac nanti,” kata Firdaus.