Bekas Senator Dr Syed Husin Ali mengenang zaman beliau aktif berpolitik pada 1970an dengan satu peringatan yang serius buat media Malaysia.
Beliau mengenang ‘perarakan lapar’ di Baling, Kedah pada 1974 ketika harga getah merudum ketika itu, hanya dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina. Laporan itu menjadi pencetus tunjuk perasaan mahasiswa universiti membela petani di Kedah. Kemuncaknya, tokoh gerakan pelajar, Anwar Ibrahim ditahan ISA selama dua tahun.
Kata Syed Husin, ketika itu akhbar Melayu dan Inggeris tidak sama sekali melaporkan berita kebuluran di negeri BN.
Malangnya, menurut Syed, empat puluh tahun telah berlalu dan hari ini masih akhbar Cina yang berani melaporkan kelemahan kerajaan BN. Walaupun Malaysia digambarkan hampir menjadi negara maju pada 2020.
“Satu ketika dulu surat khabar Melayu pernah terbuka pada zaman Said Zahari di Utusan, mereka kritikal terhadap kerajaan. Namun kerajaan ambil alih Utusan dan Said tidak dibenarkan masuk melalui Singapura ke Malaysia.
“Kemudian bila dia sudah duduk sini, tidak boleh masuk ke Singapura pula,
“Jadi memang ada waktu akhbar Melayu main peranan lebih besar daripada surat khabar Cina dan lebih terbuka dari suratkhabar Cina, tapi pada suatu ketika akhbar Cina lebih,
“Sekarang ini suratkhabar Cina pun mula dikongkong, jadi sekarang ini media hanya menyuarakan hampir semuanya pandangan pihak pemerintah,” kata beliau dalam satu temubual bersama SK.
Bekas profesor Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya itu menyeru agar generasi muda memperjuangkan kebebasan media demi memastikan urustadbir telus kerajaan tidak diabaikan.
Beliau juga menyeru wartawan muda agar memulakan perjuangan untuk berkata benar dalam laporan dan tidak terlalu tunduk kepada arahan pemerintah.
“Keadaan di negara ini, pertamanya terdapat undang-undang yang menyekat kebebasan media atau pun amalan-amalan yang menyekat. Keduanya, pihak media sendiri atau pihak yang memimpin media mesti ada keberanian dan kewibawaan untuk menegakkan kebenaran.
“Jika awak jadi wartawan, awak mesti beritahu benda yang benar, dan jika awak buat tuduhan kepada seseorang atau mengkritik seseorang, mesti bagi peluang untuk dia menjawab.
“Masalahnya sekarang ini yang menerajui akhbar sebagai editor, kalau misalnya jenis yang melawan dia akan dibuang, pengarang dan editor Utusan pun akan dibuang. Johan Jaafar pernah diambil tindakan, Nazri Abdullah pun sama, bahkan Kadir Jasin pada satu ketika pun diketepikan, dipastikan orang yang menguasai akhbar adalah orang-orang yang tidak berani untuk menyuarakan sesuatu
“Ini menyebabkan kerosakan bukan berlaku dan ia bukan ke atas kebebasan media sahaja, bahkan di institusi lainnya (akibat tiada ketelusan),” ujar beliau.